Jumaat, 7 April 2017

Usul pindaan Akta 355 cetus dilema di kalangan Pakatan Harapan

Oleh Ahmad Farhain Mazlan
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pembentangan usul cadangan pindaan Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga menimbulkan dilema di kalangan tokoh-tokoh Pakatan Harapan (PH). 
 
Penganalisis politik, Datuk Dr Aidit Ghazali berkata, usul itu akan mencabar pendirian setiap ahli PH, tidak kira yang beragama Islam atau bukan Islam. 
 
"Kita lihat dalam kalangan mereka wujud satu dilema di mana (ahli) yang beragama Islam yang membangkang akan dilihat seolah-olah membangkang apa yang terbaik untuk agama mereka sendiri," tambahnya. 
 
Di kalangan ahli PH yang bukan Islam pula, jika terlalu membangkang usul pindaan itu, mereka sedar ia akan memberi impak pada PRU 14 nanti apabila mereka perlu sokongan masyarakat Islam, terutamanya orang Melayu, katanya kepada Antarapos.
 
Aidit berkata, oleh itu apabila usul berkenaan dibahas pada masa akan datang ia mungkin akan membawa kepada kepincangan di dalam PH.
 
"Saya lihat mereka di dalam dilema dan bila mereka di dalam perkara yang sepatutnya menjadi dilema, maka saya jangkakan yang mereka nanti akan bertekak apabila mereka berbahas pada sesi seterusnya yang akan ditetapkan oleh Speaker kelak," katanya. 
 
Semalam, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang membentangkan usul cadangan pindaan Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Parlimen.
 
Speaker kemudian menangguhkan sesi perbahasan usul itu ke sidang Parlimen seterusnya.
 
 
 

Tiada ulasan: