Isnin, 10 April 2017

Usul kutuk Shabudin, Guan Eng nafi balas dendam

 Berita Daily Staff

Guan Eng sebaliknya berkata, sekiranya usul berkenaan bersifat “membalas dendam”, sudah pasti ia akan di bawa mengenai skandal tanah Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) sebelum ini.

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan beliau ingin membalas dendam terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya apabila membawa usul berkaitan kenyataannya mengenai perkahwinan antara perogol dan mangsa di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Guan Eng sebaliknya berkata, sekiranya usul berkenaan bersifat “membalas dendam”, sudah pasti ia akan di bawa mengenai skandal tanah Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) sebelum ini.

“Kenapa masih tiada tindakan terhadap Shabudin berkenaan kes Perda,” katanya, memetik laporan portal Malaysiakini, hari ini.

Shabudin adalah Pengerusi Perda.

Pengerusi Umno Pulau Pinang, Zainal Abidin Osman sebelum ini mendakwa Guan Eng mahu memfailkan usul terhadap Shahbudin dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana dendam politik.

Shabudin sebelum ini membangkitkan isu pembelian banglo oleh Guan Eng bernilai RM2.8 juta di Jalan Pinhorn, Georgetown yang dikatakan tidak mengikut nilai pasaran semasa.

Sebagai tindak balas, Zainal Abidin berkata, Umno Pulau Pinang juga memutuskan untuk mengemukakan usul bagi menuntut peletakan jawatan Guan Eng atas dua kes rasuah melibatkannya yang kini menunggu perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Pada 31 Mac tahun lepas, Guan Eng turut mendedahkan Perda menjual 8.5 ekar tanah di Taman Keramat Permai, Seberang Perai Selatan lebih rendah daripada harga pasaran.

Plot berkenaan telah dinilai secara kolektif RM16.636 juta bagi cukai taksiran tetapi dijual pada harga RM1.427 juta kepada Sty Prestige Sdn Bhd.

“Ini bermakna Perda dan rakyat Pulau Pinang kehilangan RM15.209 juta, dalam kes Perda, berlaku kehilangan besar wang rakyat, (tetapi) dalam kes saya, tidak ada kerugian dana awam.

“Kami boleh membawa usul terhadap Shabudin dalam hal itu tetapi kita tidak lakukan,” kata Setiausaha Agung DAP itu lagi.

Tiada ulasan: