Selasa, 18 April 2017

Tiada keistimewaan terhadap Zakir

Zakir


KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan mana-mana pihak yang diberikan status penduduk tetap di Malaysia termasuk pendakwah kontroversi India, Dr Zakir Naik perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Menurutnya, tiada pihak yang akan diberikan layanan istimewa termasuk Zakir jika melanggar undang-undang.

"Penduduk tetap atau warga luar yang datang ke sini perlu mematuhi peraturan di sini.

"Begitu juga, kalau kita ke luar negara, kena patuhi undang-undang negara berkenaan,"  katanya dalam sidang media dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Pengurusan Perumahan Terbaik PDRM 2016, di Bukit Aman, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa Zakir diberikan status penduduk tetap di Malaysia sejak lima tahun lalu.

Selain itu, Khalid berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan  daripada Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) untuk mendapatkan bantuan daripada PDRM selepas Zakir berulang kali ingkar memberi kerjasama terhadap siasatan ke atasnya.

"Pihaknya telah dimaklumkan NIA telah mohon 'red alert', tetapi biarlah dia mohon dahulu. Saya tidak mahu terlalu awal lakukan keputusan," katanya.

Zakir, penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan pada 2013, kini berdepan siasatan pihak berkuasa India atas dakwaan pengubahan wang dan mempromosikan propaganda pengganas.

Zakir kini masih dalam siasatan di India kerana dikatakan menyebarkan kebencian kaum dan menyanjung keganasan. Zakir mencetuskan kekecohan tahun lalu selepas beliau dikatakan menghina dewa dan amalan Hindu.

Difahamkan, beliau juga dilaporkan diharamkan memasuki United Kingdom dan Kanada susulan sokongannya kepada kumpulan pengganas al-Qaeda.

Tiada ulasan: