Ahad, 16 April 2017

Takiyuddin tarik diri tanding jawatan Naib Presiden PAS

Bernama

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kepercayaan akar umbi PAS yang mencalonkan beliau untuk kedua-dua jawatan tersebut.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan hari ini mengumumkan penarikan diri daripada jawatan Naib Presiden dan ahli Jawatankuasa PAS Pusat untuk sesi 2017/2019.

Dalam kenyataannya, Takiyuddin berkata, beliau bagaimanapun bersedia menerima jawatan lantikan sekiranya dipilih oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

“Memandangkan saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kepimpinan tertinggi PAS pusat sedia ada serta melihat keserasian dalam kepimpinan kini yang melibatkan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden, maka saya membuat keputusan menarik diri dari bertanding untuk jawatan naib presiden PAS.

“Saya yakin komposisi sedia ada ini akan mampu membawa PAS menuju masa depan yang lebih cemerlang, khusus untuk menghadapi PRU 14 nanti,” kata ahli Parlimen Kota Bharu itu.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kepercayaan akar umbi PAS yang mencalonkan beliau untuk kedua-dua jawatan tersebut.

“Saya mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih serta penghargaan di atas pencalonan saya oleh PAS Kawasan-kawasan di seluruh negara bagi jawatan Naib Presiden PAS dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk sesi 2017/2019.

“Saya juga mengisytiharkan menarik diri dari bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi memberi peluang kepada calon-calon lain menawarkan diri untuk memberi khidmat terbaik mereka kepada parti,”  kata Takiyuddin.

“Saya bersedia menerima sebarang jawatan lantikan yang difikirkan sesuai oleh Presiden Parti dan insyaAllah akan memberikan sumbangan terbaik sekiranya diberikan amanah tersebut nanti.”


Tiada ulasan: