Ahad, 9 April 2017

Tak semua barang keperluan di bawah kawalan KPDNKK


ISMA WEB
 


IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengawal hanya enam barangan keperluan – gula, minyak masak, tepung gandum, gas tong petroleum cecair (LPG), minyak petrol dan diesel.

Pengarah Bahagian Gerakan Kepenggunaan KPDNKK, Mohd Bakri Ibrahim berkata, oleh itu rakyat tidak harus menyalahkan kementeriannya jika berlaku kenaikan terhadap barangan keperluan yang bukan di bawah kawalan KPDNKK.

“Dari segi teori ekonomi, harga sebenarnya ditentukan oleh pasaran permintaan dan penawaran.

“Sekiranya pemintaan meningkat maka harga barangan meningkat dan kerajaan tidak boleh mengawal harga barangan tersebut kerana perkara itu menyalahi teori ekonomi,” katanya pada majlis perasmian penutup pertandingan Cabaran Interaktif Pengguna-Kelab Pengguna Sekolah (CIP-KPS) di sini, hari ini.

Seramai 216 pelajar mewakili 54 buah sekolah di seluruh Perak menyertai pertandingan yang masuk kali ketujuh tahun ini.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kerian Semanggol muncul johan dalam pertandingan itu manakala SMK Anderson, Ipoh, dan SMK Dato Ahmad, Lenggong masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga. – Bernama


Tiada ulasan: