Isnin, 3 April 2017

Sukar di Malaysia, Nazri mahu debat dengan Dr Mahathir di Antartika

Farhan Darwis

Pihaknya juga pelik dengan keputusan PDRM menghalang debat berkenaan daripada diteruskan memandangkan tiada sebarang bantahan diterimanya daripada Kabinet

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohamed Nazri Aziz secara sinis berkata beliau ingin meneruskan debatnya bersama Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Antartika selepas dua kali cubaan untuk penganjuran debat tersebut dihalang pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Nazri berkata, pihaknya juga pelik dengan keputusan PDRM menghalang debat berkenaan daripada diteruskan memandangkan tiada sebarang bantahan diterimanya daripada Kabinet.

“Kita boleh teruskan di London atau Greenland kalau dekat Malaysia tak boleh berdebat. Antartika pun boleh kot-kot penguin faham bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

“Saya tidak akan teruskan debat kalau polis dapat laporan dari London atau penguin sekiranya debat itu mengancam keselamatan penguin,” kata Nazri berseloroh, ketika sidang media di Parlimen, hari ini.

PDRM minggu lepas menarik balik permit penganjuran debat yang dijadualkan berlangsung 7 April ini oleh Karangkraf sehari selepas permit itu dikeluarkan.

Pihak berkuasa itu juga tidak mengeluarkan permit penganjuran debat itu pertama kalinya pada 25 Mac lepas di Padang Rengas.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata beliau mahukan debat yang dihadiri orang awam.
“Ia wacana intelektual, kalau polis tidak intelektual tidak mengapalah, kalau polis tidak yakin dengan intelektual mereka biarlah,” kata Nazri.

Tambahnya, Perdana Menteri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri tidak membantah debat berkenaan diteruskan sebaliknya menyatakan penghargaan kerana beliau mempertahankan Najib.

Nazri turut mengingatkan Dr Mahathir agar tidak melarikan diri walaupun debat itu tidak dapat dilaksanakan buat masa ini.

Beliau turut mengharapkan Karangkraf agar tetap meneruskam usaha untuk menganjurkan debat tersebut.

Tiada ulasan: