Sabtu, 15 April 2017

SPRM wajar siasat syarikat pemimpin UMNO dapat projek urus kontrak pekerja asing


Roketkini.com

GEORGE TOWN,: Satu daripada tiga syarikat swasta yang dilantik kerajaan bagi mengurus program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) mempunyai kaitan dengan pemimpin UMNO.

Bukit Megah Sdn. Bhd. merupakan syarikat yang didakwa mempunyai perkaitan dengan seorang pembantu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dedah Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim dalam kenyataan, hari ini.

Melalui semakan sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kata Steven, syarikat yang baru ditubuhkan dua tahun lalu itu dimiliki oleh Abdul Halim bin Suleiman, yang ketika ini menjawat jawatan Pegawai Khas kepada Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

“Dia (Abdul Halim) juga adalah bekas Adun UMNO bagi DUN Puteri Wangsa, Johor, selama dua penggal dari 2004 hingga 2013,” ujar Steven.

Menurutnya, syarikat-syarikat yang dilantik itu memperolehi keuntungan sebanyak RM500 juta hasil daripada pelaksanaan program berkenaan untuk tempoh empat bulan.

“Jika ini bukan konflik kepentingan dan penyalahgunaan kuasa terang-terangan, saya tidak tahu apa maknanya: Seorang Pegawai Khas kepada Menteri Dalam Negeri diberikan kontrak bersifat monopoli dengan keuntungan yang tinggi oleh Menteri Dalam Negeri sendiri?” soalnya.

Sehubungan itu, Steven yang juga Pengarah Pendidikan Politik Pulau Pinang menggesa kerajaan agar menamatkan segera kontrak yang dianugerahkan kepada Bukit Megah.

Beliau turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat perkara berkenaan.

“Saya juga menekan kembali keperluan untuk Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung Reformasi Imigresen ditubuhkan bagi menangani krisis yang kian memburuk yang ketika ini dihadapi sektor imigresen negara,” katanya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: