Ahad, 23 April 2017

Senja tanda peniaga pasar malam kena waspada



Peniaga di pasar malam Taman Bendahara, Pengkalan Chepa di Kota Bharu dilihat sudah memulakan perniagaan masing-masing kira-kira jam 6 petang.

Matahari semakin condong ke barat. Pengunjung pasar malam minggu yang beroperasi setiap Sabtu itu kian membanjiri gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis barangan keperluan harian.

Mereka terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur. Namun paling ketara, pasar malam itu dikunjungi ramai pelajar universiti awam kerana kampus Universiti Malaysia Kelantan memang terletak di kawasan berhampiran.

Ada gerai pakaian, makanan, sayur-sayuran, peralatan rumah, haiwan ternakan dan barangan perhiasan siap untuk diperdagangkan ketika isu larangan berniaga ketika masuk waktu Magrib diperdebatkan.

Dianggarkaan lebih 40 gerai dibuka di pasar malam itu dan 99.99 peratusnya adalah gerai milik peniaga beragama Islam.

Sebelum ini, bekas exco Kelantan, Datuk Husam Musa, mempertikaikan larangan beroperasi daripada kerajaan negeri pada waktu awal Maghrib.

Larangan itu dikuatkuasakan secara menyeluruh, bermakna turut membabitkan peniaga bukan Islam.
Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood, menyatakan arahan itu bagi memastikan semua pihak termasuk pembeli boleh menunaikan solat Maghrib sebelum meneruskan kegiatan masing-masing.

Katanya, arahan berkenaan juga untuk memberi masa kepada para peniaga berehat dan menunaikan solat.
Tepat jam 7 malam, empat lelaki dewasa yang memakai vest tertera "Skuad Hisbah MBKB-BRI" (Majlis Bandaraya Kota Bharu - Bandaraya Islam) menyelusuri lorong-lorong di antara gerai-gerai jualan.

Di tangan mereka ada sebuah walkie-talkie dan seunit hailer (pelaung suara) tersangkut di bahu, mula menjalankan tugas sebagai pemantau.

Mereka adalah kakitangan yang ditugaskan MBKB-BRI memastikan sebarang urus niaga di pasar malam itu dihentikan sementara ketika waktu Magrib tiba.

Kira-kira 15 minit kemudian, hailer itu dibunyikan sebagai tanda urusan jual beli perlu dihentikan. Dan azan Magrib pun berkumandang dari masjid berdekatan.

Seorang petugas Skuad Hisbah membuat pengumuman menggunakan hailer supaya urusan perniagaan dihentikan sementara waktu.

Bagaimanapun, tinjauan Malaysiakini mendapati respon di kalangan peniaga tidak seragam. Ada yang masih meneruskan perniagaan mereka ketika pengunjung mendekati gerai, tetapi dalam keadaan berwaspada.
Ada juga yang patuh sekali gus menutup lampu gerai.

Peniaga terpaksa rela

Malaysiakini cuba mendekati gerai tersebut, ternyata mereka enggan menjual dan meminta supaya menunggu selepas siren kedua dibunyikan untuk kebenaran berniaga semula.

"Kami terpaksa akur larangan ini, kalau tidak habis duit saja nak bayar saman," kata seorang peniaga makanan segera ketika ditanya mengenai arahan tersebut.

Pemuda berusia lingkungan 30-an yang enggan namanya direkodkan itu tetap setia menjaga gerainya walaupun urus niaga sudah dihentikan.

"Nak solat sepatutnya kami (peniaga) boleh bergilir-gilir. Tapi nak buat macam mana, kita ikut sajalah arahan walaupun ramai orang datang nak membeli," Katanya.

Ketika arahan itu berlangsung, kelihatan petugas MBKB-BRI meronda di sekeliling pasar malam bagi memastikan larangan dipatuhi peniaga.

Ada peniaga didapati meneruskan jualan mereka, namun menghentikan serta-merta urusan ketika gerainya dihampiri petugas Skuad Hisbah.

Hasil perbualan Malaysiakini dengan beberapa peniaga di situ juga mendapati bahawa mereka pada asasnya tidak setuju dengan larangan tersebut.

Ada yang berpendapat, arahan itu dibuat semata-mata untuk memberi gambaran bahawa negeri Kelantan "lebih Islam" berbanding negeri-negeri lain.

"Beragam orang datang ke pasar malam, ada yang singgah ketika nak pulang dari kerja, pelajar baru habis kelas misalnya memilih untuk datang ikut kesempatan yang ada.

"Ini tak praktikal walaupun kita tak menafikan bagusnya idea ini dalam menjaga syariat agama," ujar peniaga pakaian yang mahu dikenali sebagai Yusri.

Pasar Malam Taman Bendahara pun 'bermula' dalam erti kata sebenar pada jam 7.35 malam selepas siren kedua daripada hailer petugas penguat kuasa dibunyikan.

Ia disusuli pengumuman bagi kebenaran untuk peniaga kembali meneruskan perniagaan mereka dengan bebas. Lampu-lampu seluruh gerai pun dinyalakan dan suara peniaga memujuk pelanggan pun saling bersahutan.


Tiada ulasan: