Ahad, 16 April 2017

Selepas Adam, Jamal bakal 'heret' Zuraida pula ke SPRM

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Selepas 'mengheret' pemimpin muda PKR, Datuk Adam Rosly ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Jamal Md Yunos bakal membuat laporan kepada badan tersebut agar turut menyiasat Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.
 
Jamal yang juga  Ketua Umno Bahagian Sungai Besar berkata, kekayaan luar biasa yang dimiliki Adam dalam tempoh hanya beberapa tahun mengemudi pemuda PKR Ampang, dikhuatiri mempunyai hubung kait dengan Zuraida. 
 
"Apabila Adam baru beberapa tahun menjadi ketua angkatan muda PKR, dengan jawatan itu, beliau terjebak dengan perkara sebegini.
 
"Saya yakin kalau Adam ini didapati bersalah, ianya bukan salah Adam semata-mata, tetapi salah ini perlu dipertanggungjawabkan kepada pemimpin PKR yang lain.
 
"Anak muda seperti Adam ini terjebak dalam keadaan dalam parti beliau, apabila beliau melihat bosnya, Zuraida menerima rasuah misalnya," kata Jamal ketika dihubungi Antarapos.
 
Menurut Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia, laporan terhadap Zuraida akan dilakukan oleh beberapa NGO pada Selasa ini, di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya. 
 
Terdahulu, Adam ditahan selepas hadir untuk disoal siasat di ibu pejabat badan pencegah rasuah itu, Khamis lalu. 
 
Ketua Pemuda PKR Ampang itu ditahan reman lima hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memiliki kekayaan luar biasa.
 
Siasatan dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
 
Zuraida dalam kenyataannya hari ini, menafikan bahawa Adam merupakan pegawai khas dan menjadi orang perantara yang menerima komisen bagi projek-projek di Selangor yang melibatkan beliau dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.
 
Justeru, Ketua Wanita PKR itu berkata beliau bersedia untuk disiasat SPRM.
 
Jamal yang mengulas kenyataan Zuraida itu menyifatkan ia adalah tindakan untuk menutup kesalahannya di mata masyarakat.
 
"Saya tahu YB Zuraida berada dalam keadaan yang gelabah sekarang. Untuk menyedapkan hati beliau dan meyakinkan penyokong bahawa beliau tidak terlibat, itulah caranya," kata Jamal.
 
Dalam pada itu Jamal enggan menyifatkan tindakan ke atas Adam kini adalah kejayaan beliau menyelongkar salah laku dalam PKR, sebaliknya ia lebih kepada tanggungjawab untuk mendedahkan kebenaran kepada rakyat.
 
 
 

Tiada ulasan: