Jumaat, 14 April 2017

Rafizi fail laporan Nasharuddin terima dana 1MDB

Oleh Ainor Rahim
Post Pic


SHAH ALAM: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menfailkan laporan dan menyerahkan akuan berkanun mengenai dakwaannya bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharuddin Mat Isa menerima dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Rafizi yang hadir kira-kira jam 11.45 tadi berkata tumpuan utama beliau membuat pendedahan itu adalah bagi menunjukkan dan membawa kembali isu 1MDB dan SRC International.

"Sebelum ini perkara ini mungkin tidak diberi perhatian oleh media kerana pihak peguam negara dilaporkan berkata bahawa tidak ada laporan lanjut mengenai kes 1MDB. Tetapi minggu ini peguam negara dipetik berkata bagi SRC International Sdn Bhd siasatan itu masih lagi berjalan. Jadi sebab itu saya teruskan dengan akuan bersumpah semalam.

"Kita mahu perkara ini disiasat bukan sahaja sehingga sampai ke Datuk Nasharuddin Mat Isa tetapi juga sesiapa selepas itu, tujuannya dan juga semua penerima lain bukan sahaja yang saya namakan semalam," katanya ketika ditemui pemberita.

Semalam, Rafizi dalam satu sidang akhbar membuat pendedahan Nasharuddin antara penerima dana 1MDB.

Bagaimanapun, Rafizi enggan mendedahkan nama lain yang turut ada kaitan dengan aliran dana itu.

Dalam pada itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, turut menggesa Nasharudin meletakkan jawatan selaku Panel Penasihat SPRM kerana ia percanggahan kepentingan yang nyata memandangkan dakwaan dibuat terhadapnya.


Tiada ulasan: