SHAH ALAM - Sasaran Pas untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen pada PRU14 mungkin strategi terbaik parti itu.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, langkah itu merupakan jalan terbaik untuk Pas meluaskan 'empayar jajahan Parlimen' mereka.

"Mereka (Pas) tak perlu fikirkan parti lain, yang penting Pas perlu bertanding sebanyak mungkin untuk menjadi sebuah parti dominan di Malaysia," katanya kepada Sinar Online.

Mohd Azizuddin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad yang menyasarkan parti itu untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen pada PRU14 dan tidak menolak kemungkinan bertanding di kerusi tradisi DAP dan PKR.

[ARTIKEL BERKAITAN: Lembah Pantai, Batu antara 80 Parlimen sasaran Pas]

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah tindakan Pas ini akan memberi laluan sukar buat pakatan pembangkang dalam PRU14 nanti, Mohd Azizuddin menegaskan "sekarang tiada pakatan pembangkang".

"Pembangkang berpecah, jadi Pas harus bertanding sebanyak mungkin kerusi, menang kalah hanya ketentuan ILLAHI, jadi perancangan untuk Putrajaya, pas mengetahuinya," katanya lagi.

Pada PRU13 lalu, Pas hanya menang 21 daripada 73 kerusi Parlimen yang ditandinginya.

Sementara bagi kerusi Dun, Pas memenangi 85 daripada 237 kerusi yang ditandingi.