Ahad, 9 April 2017

Pilihan raya PBT: Pakatan akan buat pendirian rasmi, kata Amanah



Amanah menyifatkan kenyataan Dr Mahathir yang tidak bersetuju dengan idea mengadakan semula pilihan raya PBT sebagai pandangan peribadi beliau.


sabu


KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan idea mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan atas alasan ia tidak sesuai buat masa sekarang sebagai pandangan peribadi beliau.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata pandangan Dr Mahathir itu bukan keputusan dibuat Pakatan Harapan (PH).

“Itu hanya pandangan peribadi dan bukan PH. PH belum buat kenyataan rasmi dalam hal ini. Kita, Amanah akan buat kenyataan bersama PH,” kata beliau selepas menghadiri Seminar Pemikiran Nik Abdul Aziz Nik Mat anjuran Amanah di sini hari ini.

Mohamad Sabu atau dikenali sebagai Mat Sabu berkata, PH akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai cadangan idea mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan itu.

Jumaat lalu, Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, sekiranya pilihan raya kerajaan tempatan dilaksanakan beliau bimbang akan memburukkan lagi jurang antara kaum yang semakin ketara kebelakangan ini.

Dr Mahathir menjelaskan, sekiranya pilihan raya kerajaan tempatan diadakan ada kemungkinan bandar akan ditadbir oleh kaum tertentu manakala kawasan luar bandar pula akan ditadbir kaum yang lain.

Beliau menambah: “Kita sudah ada masalah dengan sekolah berlainan bangsa tetapi kalau kita memisahkan kawasan mengikut kaum, ini tidak selamat.”

Pilihan raya kerajaan tempatan merupakan salah satu agenda manifesto yang dibawa komponen Pakatan Rakyat ketika bertanding pilihan raya umum 2008.

Pada Ogos 2014, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan Pulau Pinang dan bekas presiden Aliran P Ramakrishnan untuk mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan di negeri itu.

Mahkamah Persekutuan memutuskan kerajaan Pulau Pinang tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan dan tidak boleh secara sebelah pihak mengecualikan pemakaian Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kepada seluruh Pulau Pinang.

Seksyen 15 memansuhkan hak badan perundangan negeri untuk mengadakan pemilihan kerajaan tempatan di negeri-negeri.

Kerajaan negeri Pulau Pinang dan Ramakrishnan memfailkan petisyen memohon untuk mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan yang dimansuhkan pada 1 Mac 1965. Kerajaan negeri itu meluluskan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Province Wellesley) pada 2012.

Tiada ulasan: