Jumaat, 14 April 2017

Pendedahan Rafizi bukan mewakili parti - pemimpin PKR

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Beberapa pemimpin tertinggi PKR dilihat menjarakkan diri dengan pendedahan yang dibuat Rafizi Ramli, membabitkan bekas pemimpin PAS yang dakwanya menerima dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 
 
Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar berkata, pendedahan Ahli Parlimen Pandan itu bukan dibuat mewakili parti dan ia tidak seharusnya memberi impak kepada tahaluf siyasi dengan PAS.
 
Semalam Rafizi menamakan bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa sebagai individu yang didakwanya menerima dana 1MDB.
 
Rafizi berkata maklumat itu diperoleh daripada seorang bekas pegawai paling kanan SPRM, yang terlibat dalam siasatan ke atas 1MDB yang terpalit dengan dakwaan penyelewengan kuasa dan wang. 
 
"Dia Ahli Parlimen Pandan, dan kalau dia nak dedahkan apa pun, itu ialah hak dia. Sama ada dari Invoke, atau parti, kalau dia nak buat, dia Ahli Parlimen Pandan, dia boleh dedahkan apa maklumat yang dia ada.
 
"Ini tiada kena mengena dengan tahaluf siyasi dengan PAS atau sebagainya," ujarnya ringkas.
 
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR pusat, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid turut senada dengan dengan pendirian ADUN Sri Andalas itu.
 
"Ini maklumat yang dia terima, jadi bila maklumat yang dia terima itu untuk dipastikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memeriksa akaun SRC (International Sdn Bhd) melalui akuan Perdana Menteri dan diberi kepada Nasharudin Mat Isa untuk dibuat siasatan.
 
"Ini Rafizi yang membongkarkannya," kata beliau, menambah ia bukan pendirian rasmi parti.
 
Tambah Ahli Parlimen Kuala Langat itu, sama ada soal pendedahan tersebut berkait dengan tahaluf siyasi dengan PKR, ia akan dibincangkan di majlis pimpinan pusat kelak.
 
Rafizi dalam sidang medianya yang turut dibuat siaran secara langsung di laman Facebook,  tidak menamakan bekas pegawai SPRM berkenaan, cuma beliau mendakwa bekas pegawai itu mempunyai maklumat sahih berserta data aliran dana 1MDB ke akaun milik Perdana Menteri dan seterusnya ke akaun pemimpin lain, termasuk Nasharudin.
 
Menurut Rafizi, dana itu disalur menerusi SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.   
 
Beberapa pimpinan PAS menyifatkan dakwaan tersebut sebagai cubaan untuk membentuk persepsi buruk masyarakat terhadap parti itu. 
 
 

Tiada ulasan: