Sabtu, 15 April 2017

PAS Johor tanding 40 kerusi jika putus kerjasama dengan pembangkang

Bernama

Pesuruhjaya PAS Johor Dr Mahfodz Mohamed berkata jumlah kerusi bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu adalah melebihi 38 kerusi yang ditandingi pada PRU Ke-13 semasa ia berada dalam gabungan pembangkang bersama-sama dengan DAP dan PKR negeri

BATU PAHAT: PAS Johor dijangka bertanding di lebih 40 kawasan di negeri ini sekiranya Majlis Syura Ulama parti itu memutuskan untuk tidak lagi menjalin kerjasama dengan parti pembangkang lain pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pesuruhjaya PAS Johor Dr Mahfodz Mohamed berkata jumlah kerusi bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu adalah melebihi 38 kerusi yang ditandingi pada PRU Ke-13 semasa ia berada dalam gabungan pembangkang bersama-sama dengan DAP dan PKR negeri.

“Bagaimanapun, keputusan bertanding berapa banyak kerusi bergantung kepada keputusan Muktamar PAS nanti sama ada memutuskan hubungan atau tidak dengan PKR, yang kemudian perkara itu ditentukan pula oleh Majlis Syura Ulama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen PAS Johor yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat Dr. Sanusi Daeng Mariok di Parit Sulong di sini, hari ini.

Mahfodz berkata sekiranya bersendirian, PAS Johor akan bertanding di lebih banyak kawasan dan meletakkan calon sendiri.

PAS bersiap siaga menjalankan persiapan sejak empat bulan lepas melalui program-program turun padang dan gerak gempur di semua kawasan-kawasan DUN yang dimenanginya.

Antara kawasan tumpuan parti itu ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, DUN Puteri Wangsa, DUN Sungai Abong dan DUN Parit Yaani.

“Kita juga akan menerima senarai calon dari semua kawasan dan hanya meletakkan mereka yang boleh membawa kemenangan kepada PAS,” katanya.

Tiada ulasan: