Isnin, 10 April 2017

PAS berang karikatur akhbar Cina hina Hadi

MALAYSIAKINI


PAS dilaporkan berang berhubung karikatur sebuah akhbar Cina yang memaparkan presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai monyet.

Bertajuk "Akta Monyet" kartun yang disiarkan dalam Nanyang Siang Pau memaparkan seekor monyet bersongkok dan dilabelkan sebagai "speaker" manakala seekor lagi memakai serban dan dinamakan sebagai "Hadi Awang" yang bertenggek di pokok "Akta 355" pokok.

"Hadi Awang" dipaparkan dengan memegang sebatang tongkat sakti sambil mahu menikmatijuadah "keledek panas", manakala "speaker" melompat dari pokok itu, sambil berkata, "simpan untuk hari kemudian."

Karikatur itu juga menunjukkan sekumpulan monyet yang bertekak di bawah pokok berkenaan.

Semakan Malaysiakini pada sekitar jam 6 petang tadi mendapati bahawa versi internet akbar itu telah menurunkan kartun berkenaan.

Kartun itu diterbitkan dua hari selepas Abdul Hadi membentangkan usul rang undang-undang ahli persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355) pada Khamis lalu.

Selepas pembentangan Hadi dan ucapan sokongan daripada Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, Pandikar memutuskan bahawa perbahasan usul itu ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat yang akan datang pada bulan Julai nanti.

Berang dengan apa yang dianggap sebagai penghinaan, Pemuda PAS Selangor menyeru umat Islam supaya bangkit dan mengadakan bantahan di luar pejabat akhbar itu di Petaling Jaya pagi esok.




“Dewan Pemuda PAS Selangor mengerahkan seluruh Pemuda dan menyeru umat Islam bangkit dan mara mempertahankan maruah umat Islam.

“Kebiadapan dan penghinaan yang di buat melalui karikatur kepada presiden PAS dan perjuangan martabatkan mahkamah syariah dalam RUU 355 oleh akhbar Nanyang Siang Pau,” katanya sambil menambah bahawa mereka menyerahkan memorandum menuntut permohonan maaf.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan menyifatkan karikatur itu sebagai tindakan yang "kurang ajar dan melampau".

"Nanyang Siang Pau mesti menarik balik kartun itu dan memohon maaf kepada umat Islam, terutamanya PAS," katanya.

Beliau juga berkata parti itu sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap akhbar berbahasa Cina, yang dimiliki oleh jutawan balak Sarawak Tan Sri Tiong Hew King.

Malaysiakini telah menghubungi Nanyang Siang Pau untuk mendapatkan ulasan mereka.


Tiada ulasan: