Oleh Syed Mu'az Syed Putra
SHAH ALAM: Bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa
menafikan menerima sebarang bentuk dana daripada 1Malaysia Development
Berhad (1MDB) sebagaimana dituduh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli
dan menyifatkanya sebagai fitnah terhadap beliau dan PAS.
Nasharuddin membayangkan kemungkinan menyaman Rafizi di atas tuduhan-tuduhannya itu.
"Dengan merujuk kepada kenyataan Sdr. Rafizi Ramli bertarikh 13.4.2017,
saya dengan ini menegaskan bahawa segala pernyataan beliau yang
melibatkan saya adalah tidak ada kaitan dengan diri saya malah
kenyataannya itu adalah fitnah dan berniat jahat kepada saya dan PAS.
"Saya dengan ini juga menafikan dengan sekeras-kerasnya pernah menerima
apa jua bentuk bayaran dan/atau sumbangan daripada sumber-sumber
seperti yang dinyatakan oleh beliau melalui tuduhan yang tidak berasas
dalam Kenyataan Bersumpah (SD) tersebut," katanya dalam kenyataan kepada
Antarapos.
Justeru beliau bersedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu sebarang siasatan manakala
peguamnya diarah mengambil tindakan yang wajar terhadap Rafizi.
"Ingin juga saya menegaskan bahawa bukan sahaja saya bersedia untuk
bekerjasama dalam sebarang siasatan oleh pihak SPRM," kata Nasharuddin.
"Bahkan saya juga telah menyerahkan kepada pasukan peguam untuk langkah
seterusnya termasuklah memulakan tindakan undang-undang dan apa jua
tindakan yang wajar untuk dilakukan menurut lunas undang-undang yang
mana dianggap wajar dan suai manfaat," tegas beliau.
Rafizi hari ini membuka laporan kepada SPRM, sehari selepas menamakan
Nasharuddin sebagai individu yang menerima dana 1MDB dan mempersoalkan
sama ada ia disalurkan untuk melembutkan pendirian PAS terhadap isu-isu
yang membelenggui kerajaan, termasuk kewangan 1MDB.
Beliau mendakwa memperolehi bukti itu daripada seorang bekas pegawai
kanan SPRM yang terbabit secara langsung dalam siasatan kewangan 1MDB.
Rafizi berkata pucuk pimpinan PAS bertanggungjawab memastikan parti itu
tidak menerima sebarang dana 1MDB dengan mengambil kira pertalian
Nasharuddin dengan pemimpin PAS.
“PAS perlu kembali semak pastikan tidak ada 1 sen pun wang 1MDB kerana
rapatnya Dr Nasharudin Isa dengan tokoh-tokoh yang masih mahu
menggabungkan Umno dan PAS,” kata Rafizi semalam.
Bagaimanapun rata-rata pemimpin-pemimpin PAS bingkas menolak dakwaan
Rafizi dengan menegaskan Nasharuddin tidak lagi aktif dalam PAS setelah
beliau tewas pada pemilihan parti tahun 2011.
Beliau kini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyelar Rafizi
kerana cuba memberi gambaran parti itu disogok wang supaya tidak lantang
memperjuangkan isu penyelewengan dalam 1MDB.
“Tengoklah laporan-laporan di dalam surat khabar, tentang sikap kami
terhadap 1MDB. Lepas itu buat telahan pula lagi sekali hari tu suruh
Hadi Awang sebut pasal 1MDB. Tak elok sikap dia itu,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata peguam-peguam PAS akan menasihati parti itu
tentang tindakan yang bakal diambil bersabit tuduhan Rafizi itu yang
membabitkan kepentingan parti.
“Ini pendedahan kosong, ada kecenderungan mahu burukkan PAS. Dari segi
(mengambil) tindakan undang-undang tu terpulang kepada peguam kita,”
kata Tuan Ibrahim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan