Rabu, 19 April 2017

Najib dicabar dedahkan indentiti 17 individu menerima dana RM23.5 juta

 Berita Daily Staff

“Siapa yang menerima dana ini? Untuk apa mereka menerima dana ini? Kenapa mereka menerima dana dari Dato’ Seri Najib? Kenapa Dato’ Seri Najib mengambil wang dari syarikat yang meminjam dari wang pencen rakyat untuk dibayar kepada pihak ketiga?”soal Rafizi

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mencabar Perdana Menteri Najib Razak supaya mendedahkan 17 individu yang menerima dana sebanyak RM23,520,010 berkaitan SRC International Sdn Bhd, yang diagihkan melalui akaun bank peribadi milik Najib sendiri.

Dalam satu kenyataan hari ini, Rafizi menegaskan bahawa bukti kepada pengagihan dana tersebut adalah satu helaian kertas yang dipegang oleh Peguam Negara Apandi Ali dalam satu sidang media, Januari yang lalu, ketika Apandi membersihkan nama Najib daripada sebarang salah laku.

“Walaupun pelbagai berita dan siasatan telah dibuat ke atas aliran dana 1MDB dan SRC International Sdn Bhd, sehingga kini tiada sebarang berita atau laporan mengenai 17 orang yang menerima dana yang berasal dari Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) ini,” katanya.

“Siapa yang menerima dana ini? Untuk apa mereka menerima dana ini? Kenapa mereka menerima dana dari Dato’ Seri Najib? Kenapa Dato’ Seri Najib mengambil wang dari syarikat yang meminjam dari wang pencen rakyat untuk dibayar kepada pihak ketiga?”soal Rafizi lagi.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan turut memberi tempoh masa seminggu untuk mendapatkan jawapan dari Najib dan pihak berkuasa berkenaan pemindahan-pemindahan wang ini.

“Oleh itu, saya akan membuat beberapa pendedahan bersiri mengenai skandal ini dan diakhiri dengan satu laporan polis baru terhadap Najib dalam tempoh seminggu dari sekarang agar siasatan dibuka kembali terhadap penglibatan Najib dalam aliran dana ke akaun peribadi beliau,”jelasnya lagi.

Terdahulu, SRC International dilaporkan meminjam hampir RM4 bilion daripada KWAP.

Berhubung dengan dana SRC International, Mohamed Apandi membersihkan Najib atas alasan bahawa perdana menteri tidak mempunyai pengetahuan bahawa dana itu dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Menurut peguam negara, tidak ada bukti yang menunjukkan yang Najib memberikan sebarang kelulusan mengarahkan pemindahan wang dari akaun SRC International ke dalam akaun peribadinya

Tiada ulasan: