Isnin, 10 April 2017

Minyak mungkin naik harga, kata menteri

Bernama

Serangan Amerika Syarikat ke atas sebuah pangkalan udara Syria baru-baru ini mungkin akan memberi kesan terhadap harga minyak dunia.

KUALA LUMPUR: Serangan Amerika Syarikat ke atas sebuah pangkalan udara Syria baru-baru ini mungkin akan memberi kesan terhadap harga minyak dunia, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata ia sekaligus boleh memberi kesan terhadap Malaysia.

“Penetapan harga minyak di Malaysia adalah berdasarkan harga bahan api dunia, justeru sekiranya harga minyak di peringkat dunia meningkat, sudah pasti harga petrol dan diesel di Malaysia akan turut naik.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenainya (harga minyak). Kerajaan telahpun melaksanakan kaedah pengapungan terkawal secara mingguan bagi penetapan harga minyak bagi menggantikan kaedah sebelumnya iaitu secara bulanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2016 dan Pelancaran Buku Kod Etika dan Tatakelakuan Warga Suruhanjaya Koperasi Malaysia di sini, hari ini.

Hamzah berkata kementerian sebelum ini mengumumkan harga runcit mingguan bagi petrol RON9
5 naik tiga sen kepada RM2.16 seliter, RON97 naik dua sen kepada RM2.43 seliter manakala diesel turun tiga sen kepada RM2.08 seliter berkuat kuasa 6 hingga 12 April ini.

Tiada ulasan: