Ahad, 9 April 2017

Mat Sabu Mengaku PAN Paling Lemah Di Kalangan Pakatan Harapan






Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu mengaku partinya paling lemah di kalangan Pakatan Harapan (PH), malah lebih daripada parti baharu PPBM yang diterima masuk sebagai anggota keempat PH pada 20 Mac lalu.


Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu membuat pengakuan itu ketika diwawancara FMT dua hari lepas.

“Mat Sabu mengakui Amanah (PAN) mungkin belum dapat menandingi kekuatan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang juga baru ditubuhkan, tetapi yakin ia adalah parti masa depan kerana kualiti keahliannya,”lapor FMT.

Pengakuan Mat Sabu itu mengesahkan bahawa DAP merupakan parti yang paling dominan di kalangan anggota PH yang turut dianggotai PKR, PPBM dan PAN

Ia juga sejajar dengan keputusan PRU 13 yang menyaksikan DAP mempunyai anggota Parlimen paling ramai di Dewan Rakyat dengan 37 Ahli Parlimen, berbanding dengan PKR (29), PAN (6) dan PPBM (1).

Kesemua enam Ahli Parlimen PAN menang di atas tiket PAS pada PRU 13 melompat parti menyertai PAN apabila parti itu ditubuhkan pada September 2015.

Dalam wawancara bersama FMT itu, Mat Sabu turut melahirkan kerisauan berkenaan ‘perangai lama PAS’ yang didakwanya kembali menular dalam PAN.

‘Perangai lama’ yang dimaksudkan Mat Sabu itu ialah sikap feudalisme dan mengutamakan kepentingan umat Islam sehingga cenderung mengabaikan hak agama lain.

“Misalnya dalam pertembungan antara Ahok (Basuki Tjahaja Purnama) dan Anies Baswedan dalam pemilihan Gabenor Jakarta, masih ada yang berkata Anies perlu menang hanya kerana dia beragama Islam.

“Amanah tidak boleh menjadi parti yang statik, dan sentiasa perlu berkembang mengikut perkembangan semasa. Amanah tidak boleh mengulangi kesilapan rakan-rakan (gerakan Islam) yang lalu,” katanya.

Namun, sesetengah pemerhati politik berpendapat ‘kerisauan’ sebenar Mat Sabu bukan berpunca daripada ‘perangai PAS’ sebaliknya perpecahan dalam yang melibatkan aliran ideologi politik yang berbeza.

PAN yang ditubuhkan sejak hampir dua tahun lalu belum pernah menjalani pemilihan jawatan secara konsensus melalui mesyuarat agung parti itu.

Kebanyakan jawatan yang disandang anggota PAN hari ini, termasuk Mat Sabu sebagai Presiden parti dibuat secara lantikan.

Dijangkakan pada 2018, PAN akan mengadakan mesyuarat agung tahunan untuk mempertandingkan jawatan-jawatan dalam parti itu secara demokrasi.

LIHAT VIDEO DI SINI



Tiada ulasan: