Selasa, 11 April 2017

Kolaj, buku kartun rosak: Zunar dapat RM18,000





zunar

Kerajaan, atas keputusan mahkamah bayar RM18,000 kepada Zunar kerana merosakkan kartun beliau Kerajaan Malaysia pada hari ini, atas perintah mahkamah, bersetuju membayar RM18,000 sebagai ganti rugi kerana telah merosakkan lukisan kartun asli saya tujuh tahun lalu.

Bila sepasukan polis menyerbu pejabat saya dan menangkap saya pada 24 September 2010, mereka juga merampas sebuah lukisan yang menggambarkan karektor PM Najib dan isterinya, Rosmah, bersama buku baru ketika itu, "Cartoon-O-Phobia".

Selepas saman saya, pada November 2014, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 Julai 2012 yang mengarahkan polis memulangkan lukisan dan buku-buku tersebut kepada saya. Tetapi lukisan tersebut telah rosak teruk apabila saya menerimanya.

KENYATAAN

1. Rampasan lukisan kartun di bawah undang-undang jenayah seperti Akta hasutan adalah menyalahi hak asasi kartunis dan hak kebebasan bersuara.

2. Untuk menahan lukisan tersebut dalam lokap polis selama lima tahun dan merosakkannya adalah merupakan kesalahan yang lebih besar. Ia adalah satu bentuk intimidasi dan kejahilan dalam menghormati kerja seni.

3. Keputusan hari ini bukan soal jumlah wang pampasan, tetapi adalah satu pengajaran kepada polis dan kerajaan Malaysia bahawa menggunakan undang-undang jenayah secara wewenang adalah tidak dapat diterima dan berniat jahat. Ia juga bukti jelas bahawa tajuk buku kartun saya, "Cartoon-O-Phobia" adalah perkataan yang tepat untuk menggambarkan watak kerajaan Malaysia.

4. Saya ingin mengingatkan bahawa buat masa ini terdapat lebih 40 karya kartun saya yang dirampas dan masih di lokap polis di Pulau Pinang sejak November 2016, juga disiasat di Akta Hasutan. Saya akan mengambil tindakan perundangan supaya polis memulangkannya kepada saya. Polis harus bertanggungjawab sekiranya terdapat kerosakan pada karya-karya kartun tersebut.

5. Tindakan sama juga akan diambil mengenai 1,300 buah buku saya yang dirampas oleh polis Kuala Lumpur dan masih dalam tahanan mereka juga sejak November tahun lepas kerana diakatakan "Mengancam Demokrasi  Berparlimen".DETIK DAILY

Zunar
Kartunis Politik

Tiada ulasan: