Rabu, 12 April 2017

Kes Jong-nam: Peguam bimbang tertuduh jadi 'kambing hitam'

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Peguam kepada dua tertuduh dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam bimbang kedua-dua wanita asing itu dipergunakan Korea Utara terlepas daripada hukuman.
 
Menurut peguam, Siti Aisyah dan Doan Thi Huong yang kini ditahan di Penjara Kajang masih kekal dengan cerita mereka terbabit dalam program gurauan televisyen, bukannya pembunuhan abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Un.
 
Katanya, kes itu sukar dikendalikan kerana anak guamnya mendakwa seorang daripada lelaki Korea Utara terbabit sudah melarikan diri sejurus serangan berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.
 
“Mereka fikir ia adalah satu gurauan. Apa yang kita tahu ialah penjenayah sebenar kes itu sudah melarikan diri ke Korea Utara pada hari kejadian,” kata Gooi Soon Seng yang mewakili Siti Aisyah kepada Quartz.
 
Beliau berkata, Pyongyang cuba “menggambarkan mereka langsung tidak terbabit dalam kes itu”.
 
“Tetapi, saya benar-benar percaya 2 gadis naif itu sebenarnya dipergunakan mereka untuk melakukan serangan itu bagi pihak mereka, tanpa mengetahui mereka menggunakan racun," katanya yang dipetik FMT.
 
Gooi berkata, beliau tidak nampak sebarang kemungkinan lelaki itu akan kembali ke Malaysia untuk membantu membela anak guamnya dan 2 wanita itu mungkin berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan.
 
“Ada pedang tergantung di atas kepala mereka,” katanya sambil menambah 2 tertuduh masih bertegas mereka tidak bersalah dan keterangan mereka berdua konsisten.
 
Peguam Doan, Naran Singh berkata, dua tertuduh itu yang ditempatkan di sel sendiri, dilayan dengan baik dan sihat.
 
Jong Nam didakwa dibunuh dua wanita asing yang menyapu mukanya dengan agen saraf VX, ketika beliau menunggu pesawat ke Macau di klia2, pada 13 Februari lalu.
 
Siti Aisyah, 25, dari Indonesia dan Doan Thi Huong, 29, dari Vietnam kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 1 Mac lalu atas pertuduhan membunuh Jong Nam.
 
Satu-satunya suspek Korea Utara, Ri Jong Chol yang direman pada 18 Februari lalu, dibebaskan kerana kekurangan bukti dan diusir dari negara ini pada 3 Mac lalu.
 
Empat lagi suspek lain dikatakan melarikan diri dari Malaysia pada hari kejadian dan kembali ke Pyongyang ialah Ri Ji Hyon, 33, Hong Song Hac, 34, O Jong Gil, 55, dan Ri Jae Nam, 57.
 
Korea Utara menafikan pembabitan dalam kes pembunuhan Jong Nam, sebaliknya negara itu mendakwa Malaysia bersubahat dengan Korea Selatan untuk memanipulasi siasatan ke atas mayat Jong Nam.
 
Kematian Jong Nam dalam operasi klinikal kejam itu dikatakan bertujuan menyingkirkan potensi anak sulung Kim Jong Il yang kononnya memalukan Pyongyang daripada menuntut takhta Jong Un.
 
Pembunuhan itu mencetuskan ketegangan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara sehingga membawa kepada pengusiran duta masing-masing dan larangan rakyat kedua-dua negara meninggalkan Pyongyang serta KL.
 
 

Tiada ulasan: