Ahad, 9 April 2017

Keputusan PAS tolak Pakatan Harapan muktamad, kata Tuan Ibrahim

 
Berdasarkan pendirian itu, kata timbalan presiden PAS pihaknya akan terus mara dan memperkukuhkan parti sebagai blok ke-3.



tolak-pakatan

PETALING JAYA: PAS mengulangi pendirian parti itu tidak akan sesekali menyertai Pakatan Harapan, kata Timbalan Presidennya, hari ini.

Pada masa yang sama kata beliau, PAS juga tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Berdasarkan pendirian itu, Tuan Ibrahim berkata, PAS akan terus mara dan memperkukuhkan parti sebagai blok ket-3.

Sejak bulan lalu, Pakatan Harapan dianggotai empat parti iaitu PKR, DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Kelmarin, Datuk Husam Musa tidak menolak kemungkinan PAS akan menyertai Pakatan Harapan walaupun parti Islam itu sudah mengumumkan tidak akan berbuat demikian dengan adanya DAP dan Amanah dalam pakatan berkenaan.

Disebabkan masih ada puak “rasional” dalam parti itu, bekas naib presiden PAS itu berharap puak berkenaan dapat mengambil alih pucuk pimpinan parti selepas muktamar pada akhir bulan ini dan seterusnya membuka jalan kepada kemungkinan itu.

Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim memberi alasan keputusan mereka terbukti tepat berikutan sikap penentangan berterusan DAP dan Amanah terhadap agenda Islam yang dibawa oleh PAS termasuk Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.

“Sikap ini jelas kelihatan di Parlimen pada 6 April 2016, ketika Presiden PAS dan Setiausaha Agung PAS membentangkan RUU 355,” kata beliau.

Katanya, episod RUU 355 juga membuktikan perumpamaan yang digunakan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 25 Mac lalu adalah betul.

“Di mana kedua-dua belah ibarat biawak hidup di mana 1 belah tidak berani membawa, dan 1 belah bukan sahaja menentang, bahkan hak PAS untuk membentangkan RUU 355 melalui saluran demokrasi yang sah pun cuba dihalang,” kata beliau.

Tuan Ibrahim berkata, mereka yang “kepanasan berikutan pembentangan dan penghujahan cemerlang” Hadi dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat mengenai RUU 355 kini cuba mengalihkan perhatian dengan meletakkan pelbagai tuduhan pada PAS tanpa seurat bukti dan juga bermain saraf untuk melagakan pimpinan PAS.

“Namun, strategi lapuk ini tidak akan berjaya kerana PAS yang ada hari ini telah menjadi lebih matang dan kukuh ekoran perpecahan di 2015,” kata beliau yang tidak merujuk dengan khusus isu tertentu.

Bagaimanapun pada hari yang sama Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan usul RUU 355, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan ada bukti menunjukkan aliran dana daripada akaun berkaitan 1MDB kepada “tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS”.

Justeru Tuan Ibrahim berkata, mereka yang membuat tuduhan boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia agar tindakan dapat diambil terhadap PAS sekiranya ada.

“PAS akan memberikan kerjasama sepenuhnya.”



Tiada ulasan: