Selasa, 11 April 2017

Kemenangan Hadi, Tuan Ibrahim kerana tiada pergolakan dalam parti

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kemenangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam pemilihan adalah disebabkan tidak berlaku pergolakan dalam parti itu.
 
Penganalisis politik serantau, Dr Baharuddin Aziz berkata, keputusan itu secara jelas mempamerkan kepimpinan yang kuat dalam PAS.
 
"Bagi saya ia bukan isu, biasalah. Ini satu perkara yang biasa, yang tidak menghairankan. Parti politik pon lazimnya presiden itu selama ini kalau ikut perjalanan normal itu. Kalau ada mungkin tidak puas hati atau pergolakan mungkin jawatan itu akan dipertandingkan.
 
"Sebab saya nampak kali ini mungkin tiada sangat persaingan sengit oleh kerana mereka siap siaga untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Mereka (PAS) simpan tenaga untuk pertandingan yang lebih besar," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Terdahulu Hadi dan Tuan Ibrahim disahkan menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu bagi tahun ini. 
 
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata jawatan nombor satu dan dua PAS itu tidak dicabar pada pemilihan sempena Muktamar Pusat ke-63 yang akan diadakan di Kedah, hujung bulan ini. 
 
Dalam pada itu, Baharuddin menyifatkan keputusan PAS yang menyasarkan 80 kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang, adalah lebih kepada untuk mengukuhkan kedudukan parti itu berbanding untuk mentadbir kerajaan. 
 
"Ia lebih bersiap siaga untuk menghadapi cabaran yang lebih. Satu situasi yang lebih mencabar pada PRU 14 ini," tambahnya.
 
PAS sebelum ini menyasarkan 80 kerusi parlimen, termasuk kerusi Wilayah Persekutuan dan tidak menolak sebarang kemungkinan untuk bertanding di kerusi-kerusi tradisi milik PKR dan DAP.
 
 

Tiada ulasan: