Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Ahli keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak
menolak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Amanah selepas
parti itu menganjurkan Seminar Pemikiran Tok Guru Nik Aziz, semalam.
"Maka dimaklumkan bahawa panel peguam kami sedang meneliti secara
terperinci ucapan, kenyataan serta bagaimana majlis itu dilaksanakan.
"Jika terdapat apa-apa tuduhan palsu atau kenyataan yang boleh
mencemarkan nama baik Allahyarham maka kami tidak teragak-agak untuk
mengambil tindakan undang-undang bagi menjaga kesucian dan nama baik
Allahyarham Ayahanda kami," demikian menurut anak Allahyarham, Nik Adli
Nik Abdul Aziz, dalam satu kenyataannya hari ini.
Sebelum ini Nik Adli, yang mewakili keluarga dan ibunya, Datin Tuan
Sabariah Tuan Ishak membuat satu laporan polis terhadap tindakan Amanah
menganjurkan seminar pemikiran yang menggunakan nama bapanya.
Seminar berkenaan diadakan semalam di Dewan Perhimpunan Cina Kuala
Lumpur dan Selangor (KLSCAH) yang mana turut dihadiri Presidennya,
Mohamad Sabu; Naib Presiden, Datuk Husam Musa dan beberapa pemimpin
parti yang lain.
Nik Adli berkata keluarganya tidak pernah bersetuju nama bapanya
digunakan bagi seminar berkenaan, apatah lagi ia memberi imej buruk
kepada Allahyarham dan keluarga seolah-olah mereka menyokong perjuangan
Amanah.
Sementera itu seorang lagi pemimpin PAS menyelar tindakan parti
serpihannya, dengan mendakwa seminar itu sebagai 'jenayah' memanipulasi
pemikiran Allahyarham Nik Aziz.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali berkata
Allahyarham tidak pernah meminta sesiapa keluar daripada perjuangan
parti, apatah lagi perginya beliau masih lagi dalam 'jiwa' PAS.
"Ini merupakan satu manipulasi terhadap pemikiran seorang yang telah
tiada dalam dunia. Tok Guru tidak ada kena mengena dengan parti
tersebut. Malah Tok Guru terus istiqamah bersama PAS sehingga ke akhir
hayatnya.
"Setiap orang berhak mengkaji pemikiran sesiapa pun termasuk pemikiran
seorang tokoh yang telah meninggal dunia. Tetapi kita tiada hak
menisbahkan sesuatu kepada seorang yang tidak pernah memperkatakannya,"
tegasnya.
Kata Khairuddin, lebih dikesalkan adalah Allahyarham tidak boleh
menjawab bagi menafikan segala rekaan cerita dan andaian yang berasaskan
sangkaan pemimpin Amanah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan