Selasa, 11 April 2017

Kartun monyet pakai serban: Pas akan saman Nanyang

Muhammad Azizul Osman

Kartun dalam Nyanyang Siang Pau
 
KUALA LUMPUR – Ekoran satu paparan kartun dalam Nanyang Siang Pau yang memaparkan dua ekor monyet, Pas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar cina itu tidak lama lagi.

Menurut Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan, parti itu rasa terhina apabila salah seorang monyet berkenaan digambarkan sedang memakai serban yang menjadi simbol ‘lebai’ kepada parti itu.

“Biadap dan melampau. Nanyang Siang Pau mesti menarik balik kartun ini dan memohon maaf kepada umat Islam khasnya kepada Pas.

“Politik yang sangat dangkal dan tidak bertamadun. Pihak kami sedang meneliti aspek tindakan undang undang terhadap sikap yang diambil oleh Nanyang Siang Pau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kartun berkenaan, Nanyang Siang Pau telah menyamakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai monyet yang lari meninggalkan sebuah pokok.

Tindakan itu boleh ditafsirkan sebagai penangguhan oleh Pandikar yang dibuat beliau di Dewan Rakyat baru-baru ini yang menangguhkan perbahasan pindaan RUU355 ke sidang akan datang.

Dalam kartun berkenaan turut memaparkan beberapa tulisan Mandarin yang dipercayai menggambarkan situasi pada sesi Dewan Rakyat Khamis lalu.

Namun ada tertera angka 355 yang dikaitkan dengan Usul Persendirian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang iaitu pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang kuasa jenayah) Akta 355 yang dibentangkan pada Khamis lalu.

“Anda boleh untuk tidak bersetuju. tetapi janganlah sampai ke tahap ini,” rujuk Nasruddin akan paparan kartun itu. -MalaysiaGazette.


Tiada ulasan: