Jumaat, 14 April 2017

Isu dana 1MDB: Nasharuddin mulakan tindakan undang-undang terhadap Rafizi

 Berita Daily Staff

Pihaknya turut menafikan dakwaan itu dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM)

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) Nasharuddin Mat Isa berkata pihaknya telah memulakan tindakan undang-undang susulan dakwaan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang mengatakan beliau menerima dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui Perdana Menteri Najib Razak.

Bekas Timbalan Presiden PAS itu berkata, pihaknya turut menafikan dakwaan itu dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya dengan ini menegaskan bahawa segala pernyataan beliau yang melibatkan saya adalah tidak ada kaitan dengan diri saya malah kenyataannya itu adalah fitnah dan berniat jahat kepada saya dan PAS.

“Saya dengan ini juga menafikan dengan sekeras-kerasnya pernah menerima apa jua bentuk bayaran dan/atau sumbangan daripada sumber-sumber seperti yang dinyatakan oleh beliau melalui tuduhan yang tidak berasas dalam Kenyataan Bersumpah (SD) tersebut.

“Ingin juga saya menegaskan bahawa bukan sahaja saya bersedia untuk bekerjasama dalam sebarang siasatan oleh pihak SPRM bahkan saya juga telah menyerahkan kepada pasukan peguam untuk langkah seterusnya termasuklah memulakan tindakan undang-undang dan apa jua tindakan yang wajar untuk dilakukan menurut lunas undang-undang yang mana dianggap wajar dan suai manfaat,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Rafizi, yang juga ahli Parlimen Pandan membuat dakwaan itu dalam sidang medianya semalam.

Maklumat itu katanya diperolehi daripada kenalannya yang juga bekas pegawai kanan SPRM.

“Siasatan SPRM ke atas SRC International Sdn Bhd mendapati sejumlah dana syarikat itu telah dipindahkan ke akaun peribadi Najib. Daripada akaun Najib, terdapat bayaran kepada peguam tertentu.

“SPRM telah menyoal siasat peguam tersebut dan mendapatkan bukti tokoh-tokoh yang dibayar menggunakan wang SRC International Sdn Bhd yang disalurkan melalui peguam tersebut.

“Salah seorang penerima bayaran daripada peguam tersebut adalah Nasharudin,” kata Rafizi.

Nasharuddin mengetuai GMM menggantikan Saifuddin Abdullah yang menyertai PKR.

Tiada ulasan: