Jumaat, 7 April 2017

Irwan enggan ulas kenyataan AG Swiss mengenai 1MDB

Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah hari ini enggan mengulas kenyataan Peguam Negara Switzerland, Michael Lauber yang melahirkan keyakinan mengenai siasatan pengubahan wang haram melibatkan firma berkenaan akan membuahkan hasil.

Semalam, Lauber yakin siasatan pengubahan wang haram melibatkan 1MDB akan membuahkan hasil walaupun pihak berkuasa Malaysia enggan bekerjasama.

Ditemui pemberita pada program 1MET Engagement Day di Putrajaya, hari ini, Irwan sekadar berkata, hal tersebut di luar konteks dan enggan melayani pertanyaan lanjut mengenainya.

"Itu di luar konteks," kata Irwan ringkas sebelum bergegas pergi.

Semalam, Reuters melaporkan Lauber sebagai berkata, siasatan pihaknya mencatat kemajuan berdasarkan laporan-laporan pengubahan wang haram, dokumen-dokumen bank diteliti dan kerjasama dengan Singapura dan negara-negara lain.

“Ia bukan tiada harapan, sebaliknya bertentangan sama sekali,” Lauber dipetik sebagai berkata dalam sidang media, lapor agensi berita antarabangsa itu.

Lauber juga berkata, sangat wajar bagi Malaysia untuk bekerjasama dalam siasatan itu.

“Kami masih yakin dapat menyimpulkan proses dalam bidang ini, terutamanya dalam kes terbuka terhadap dua buah bank,” katanya merujuk kepada bank swasta Switzerland BSI dan Falcon.

"Tempat ini (Switzerland) bukan tempat selamat untuk pengganas, bukan untuk pengubah wang haram, bukan untuk rasuah antarabangsa.

"Kami tidak bertolak ansur dengan perkara seperti 1MDB, kami tidak bertolak ansur dengan perkara seperti Petrobras, kami tidak bertolak ansur dengan perkara seperti kompleks bola sepak FIFA," katanya.

Pejabat Lauber pada November lalu berkata, Malaysia sekali lagi menolak permohonan bantuan undang-undang daripada Switzerland dalam siasatannya terhadap 1MDB.

Dalam pada itu, Mohd Irwan yang juga ketua setiausaha perbendaharaan berkata, pihaknya bercadang untuk mengadakan pertemuan serta perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia bagi membolehkan pelajar di negara ini mempelajari bidang keusahawanan secara kreatif.

Kata Mohd Irwan, cadangan itu timbul selepas beliau pulang dari lawatan rasminya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke India baru-baru ini.

"Di India, saya sempat melawat institut yang membuat (design thinking) yang mana produk mereka direka dalam makmal dan dipasar ke luar negara separti US, Eropah dan sebagainya .

"Jadi, kompenan inilah yang menjadi produk berjenama di negara barat tapi inputnya datang dari India," jelas beliau.

Di Malaysia, budaya seperti itu masih belum berlaku kerana masih berorientasikan peperiksaan dengan tiada tumpuan khusus yang diberikan kepada penciptaan produk berdasarkan kreativiti.

"Universiti kita ini banyak mengajar tradisional, kita cuma duduki peperiksaan, belajar siang dan malam, mak, ayah paksa belajar skor 10A tapi kita tak cipta produk yang cerdik pandai dan kreatif.

"Jadi, dalam kita hantar anak belajar jadi doktor, jurutera, kita kena juga masukkan input keusahawanan ke dalam diri dan otak kita," kata beliau lagi.

 LIHAT VIDEO DI SINI



Tiada ulasan: