Ahad, 9 April 2017

Husam Musa dilantik naib presiden Amanah berkuatkuasa hari ini

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Datuk Husam Musa kini dilantik sebagai Naib Presiden Amanah berkuat kuasa hari ini.
 
Sebelum ini ADUN Salor itu hanya diberikan tanggungjawab sebagai Penasihat Amanah Kelantan.
 
Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir di Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini.
 
Pelantikan Husam itu, menurut Anuar penting memandangkan beliau sebagai seorang pemimpin yang mempunyai banyak pengalaman dan latar belakang politik. 
 
"Husam akan diminta mengetuai (jawatankuasa) hala tuju parti untuk pilihan raya umum akan datang dan menjadi anggota kanan biro politik," kata Anuar.
 
Cadangan pelantikan Husam itu mula diusulkan selepas Konvensyen Amanah pada Disember lalu.
 
"Husam seorang yang merendah diri, apatah lagi beliau merupakan seorang anak didik Tok Guru (Nik Aziz)," ujar Anuar.
 
Pelantikannya juga dipercayai dapat membantu usaha Amanah mengalahkan PAS di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Sementara itu, Husam ketika menjadi pembentang di seminar berkenaan menyifatkan kematian Nik Aziz itu juga sebagai kematian bersama idea perjuangan PAS yang asal, sebagaimana diasaskan bekas mursyidul am parti itu.
 
"Kematian Nik Aziz bukan sahaja kematian dirinya yang bernama Nik Aziz tetapi permulaan era baru hala tuju PAS dan penghakisan pendekatand an pemikiran politik Nik Aziz dari PAS. Termasuk robohnya kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat (PR) yang berjaya membawa PAS menikmati pengaruh di Pantai Barat Semenanjung yang asalnya hanya parti Pantai Pantai Timur Semenanjung.
 
"Satu lagi tanda kehakisan pemikiran Nik Aziz dan PAS adalah apabila PAS memperkenalkan slogan baru iaitu budaya politik matang dan sejahtera. Secara tak langsung PAS mengisytiharkan pendekatan politik sebelum ini, ketika Nik Aziz menerajui PAS sebagai tidak matang," dakwa Husam.
 
Husam, yang juga bekas setiausaha akhbar Nik Aziz ketika pemimpin itu menjadi menteri besar Kelantan percaya perjuangan beliau dan rakan-rakan lain bersama Amanah, akan 'direstui' pemimpin berkenaan.
 
Beliau juga yakin, jika Nik Aziz masih hidup, beliau akan menyokong kerjasama politik pembangkang dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
"Kali terakhir Nik Aziz bertembung dgn Dr Mahathir selain enakmen jenayah syariah adalah kenyataan Dr Mahathir supaya Tok Guru balik duduk mengajar di pondok. Nik Aziz jawab kemudian suruh tinggalkan jawatan PM dan jaga klinik. 
 
"Sejak itu saya lihat Dr Mahathir nampak logik Nik Aziz sebagai 'tajam', maka tak ada lagi main-main. Jika Tok Guru ada lagi pada hari ini, sudah tentu beliaulah orang pertama akan duduk dengan Tun Mahathir, berceramah keliling seluruh negara untuk membebaskan Malaysia. 
 
"Apabila saya lihat Mat Sabu duduk dengan Dr Mahathir, maka saya lihat inilah mewakili Nik Aziz," ujarnya sambil disambut tepukan peserta seminar berkenaan
 
 

Tiada ulasan: