Sabtu, 15 April 2017

Hipokrasi dalam pembudayaan Melayu

Kongres Budaya 2017 harus dapat melihat asas kekuatan Melayu sebenar yang  terbina sejak merdeka tidak  diatas asas racism  Melayu dan agama  yang sempit tetapi bersifat kosmopolitan dan berkualiti antarabangsa

Zainuddin Maidin

KITA tidak harus hipokrasi dalam soal pembudayaan Bangsa Melayu dan hadapilah realiti masyarakat Malaysia dengan berani jika kita hendak memperkasakan  Melayu dengan nilai yang boleh menghadapi cabaran antarabangsa.

Pertama sekali kita harus akui bahawa sentimen ke Melayuan selepas merdeka telah dibangunkan oleh dua golongan Melayu  terpelajar  Inggeris iaitu suatu  golongan yang mengikut arus sentiment ke arah nasionalisme Melayu dan suatu  golongan lagi yang percaya kepada ketamadunan Melayu menerusi Bahasa Inggeris.

Kedua-dua  golongan adalah dari pendidikan Inggeris, kelas elitis, aristokratik  dan  juga bangsawan yang walaupun dari aliran yang sama tetapi tidak sama dalam pendekatan ke arah membangun kekuatan bangsa.

Pertembungan berlaku antara dua golongan ini untuk mendapat sokongan orang Melayu terutama dari guru-guru Melayu yang menjadi tulang belakang perjuangan kemerdekaan,orang kampung disamping golongan ustaz atau pondok.

Dalam dunia politik, anak-anak Melayu  yang berpendidikan Inggeris terutama dari  UK  atau Australia  lebih  realisitik seperti Tunku Abdul Rahman,Abdul Razak, Dr Ismail, Sardon Zubir, Mohd Khir Johari dan lain-lain.

Mereka menjadi pengawal kepada sentiment Melayu  agak keberatan untuk gantikan  Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu dalam semua bidang.

Walaupun Abdul Razak sejalan dengan pemikiran Tunku Abdul Rahman tetapi beliau terpaksa mengambil kesempatan tunduk kepada sentimen Melayu dalam isu penubuhan UKM apabila Harun Idris  Ketua Pemuda Umno Malaysia dan juga Menteri Besar Selangor lebih  ke hadapan dalam soal ini. Ini adalah kerana persaingan politik.

Golongan nasionalis yang kuat dalam perjuangan Bahasa terdiri  dari  Professor Ungku Aziz, Syed Nasir Ismail, Professor Ismail Hussein, Professor Hamid Osman, Hassan Haji Ahmad, Nik Safiah, Ainuddin Wahid dan beberapa orang lagi yang kebanyakannya berpusat di Dewan Bahasa dan Pustaka dan juga di Universiti Malaya dan Singapura.

Tidak dapat dinafikan kekuatan  sentimen mereka telah  membantu melahirkan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Universiti  Kebangsaan Malaysia(UKM) dan mempercepatkan jumlah peningkatan  anak-anak Melayu ke Unversiti -Universiti tetapi dalam pada itu sentimen ini juga  memakan  korban yang tidak sedeikit  dalam kemerosotan Bahasa Inggeris di negara ini  dan menyekat perkembangan dan kecepatan  kemajuan ilmu di kalangan anak-anak Melayu dari luar bandar kerana memerlukan terjemahan yang mengambil masa dan juga pengeluaran buku-buku teks dalam Bahasa Melayu.

Golongan elit Melayu yang berkualiti semakin pupus kerana nilai pelajaran menerusi Bahasa Melayu dan yang menjadi mangsa ialah anak-anak Melayu dari kampung sedangkan anak-anak golongan elit Melayu berpendidikan Inggeris yang memainkan sentimen Melayu, terus mendapat pendidikan berkualiti samada oleh suasana pendidikan di rumah atau menghanatr anak mereka ke luar  negara.

Mereka ini berbahasa Inggeris dengan anak-anak mereka di rumah disamping menjadi juar  bahasa Melayu di medan perjuangan.Kerana itu anak-anak mereka dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan lancar dan tidak menderita perasaan rendah diri.

Anak-anak merekalah  yang menjadi kesenimbungan golongan elitis Melayu yang berkualiti dan mendapat  kedudukan yang utama dalam pemerintahan negara, dalam dunia koporat  dan di bidang  penswastaan dan juga politik.

Umpamanya Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Ungku Aziz  anak kepada Profesor Ungku Aziz, Syed Yusuf anak kepada Syed Nasir Ismail Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Syed Hamid Albar anak kepada Syed Jaafar Albar dan ramai lagi anak-anak pegawai tinggi kerajaan yang berpendidikan Inggeris.

Buatlah kajian secara jujur golongan elit yang menguasai berbagai bidang professional dalam kerajaan atau di luar kerajaan sekarang. Kebanyakan mereka adalah dari keturunan bangsawan atau elit Melayu yang berpendidkan Inggeris.

Tidak ramai lagi intelektual  yang  bersifat universal  dalam kategori  kualiti sosial dan pemikiran yang setaraf dengan mereka yang berpendidikan di zaman British  seperti professor Kho Kai Kim, Profesor Ismail Hussein. Kassim Ahmad,Omar Hashim,Hassan haji Ahmad,Ahmad Mustaffa,Nik Safiah, Johan Jaafar dan lain-lain lagi.

Walaupun  berpendidikan Inggeris tetapi  mereka mempunyai pengetahuan mendalam dalam Bahasa Melayu disamping penguasaan Bahasa Inggeris yang baik.

Bahasa Inggeris memberikan kekuatan kepada  nilai-nilai Melayu dengan keterampilan  Melayu berkualti yang percaya kepada diri sendiri dan tidak menderita perasaan rendah diri.

Lihat sahaja   Rais Yatim, Ungku Aziz,Tunku  Abdul Rahman, Abdul Razak, Dr Ismail, Dr Mahathir  dan lain lain lagi yang setanding dengan golongan  para professional dan pemimpin  antarabangsa.

Kualiti untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia  pun masih dinilai dari segi  kecekapan penguasaan Bahasa Inggeris.

Maka itu kelemahan Bahasa Inggeris Dr Zahid Hamid di tonjolkan dan Hisammuddin Onn diberikan kelayakan  menjadi Perdana Menteri.

Rais Yatim juga dihormati dan dikagumi  kerana penguasaan Bahasa Inggeris yang hebat seiring dengan  Bahasa Malayunya yang sempurna dan indah walaupun beliau berpendidikan Inggeris.

Keupayaan Bahasa Inggeris yang membuka kepada pembacaan yang luas mencabar minda,mengimbangi cara berfikir dan membolehkan mereka menampilkan pemikiran dan keperibadian Melayu  dengan kewibawaan dan kekuatan sendiri  tetapi kelemahan anak-anak Melayu sekarang dalam hal ini membataskan pergaulan  kepada kelumpuk sendiri sahaja menyebabkan pemikiran sempit   sehingga  Arabisasi dianggap  sebagai  kekuatan Islam dan Melayu.

Harus di ingatkan bahawa akhbar  Utusan  Melayu sendiri adalah di lahirkan oleh anak Melayu  berpendidikan Inggeris dari keturunan Minang iaitu Yusuf Ishak yang setelah keluar dari dunia kewartawanan,  menjadi Melayu  Pertama  sebagai  Presiden Singapura. Beliau dan adik-adiknya yang mendapat tempat dalam kerajaan Singapura adalah anak  kepada Pegawai Perikanan Melayu bagi Negeri-Negeri Selat.Semuanya berpendidikan Inggeris.

Aziz Ishak adik kepada Yusuf Ishak yang juga wartawan Utusan Melayu telah dihantar  oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya General Templer untuk mewakili semua akhbar di Malaya bagi laporan dalam Bahasa Inggeris mengenai  Pertabalan Queen Elizabeth di tahun1955.

Wartawan-wartawan Utusan Melayu generasi pertama juga adalah dari pendidikan Inggeris seperti Ishak Haji Mohamad ,Abdul Samad Ismail, Aziz Ishak ,Othman Wok, Hussein Abdul Hamid  dan lain-lain.

Perjuangan pertama Utusan Melayu bila di lahirkan pada tahun 1939 adalah untuk menentang Arabisasi  ke atas Orang Melayu  dan  menentang Keturunan Arab(DKA) yang mengexsploitasi orang Melayu di Singapura dan Johor.

Kongres Budaya 2017 harus dapat melihat asas kekuatan Melayu sebenar yang  terbina sejak merdeka tidak  diatas asas racism  Melayu dan agama  yang sempit tetapi bersifat kosmopolitan dan berkualiti antarabangsa yang dijuarai dengan berani oleh Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak, Dr.Ismail dan Dr.Mahathir dan lain-lain rakannya.

Rais Yatim harus secara jujur melihat kekuatan dirinya sendiri.Kita harus membawa keluar orang Melayu dari sentimen Nusantara yang sempit seperti yang di lakukan oleh Tunku Abdul Abdul Rahman Putra Al-Haj walaupun menghadapi konfrantasi Indonesia.

Kerana kekeliruan dan hipokrasilah maka kita sekarang berundur kebelakang dalam bidang politik, sosial dan agama dengan memainkan kembali sentimen perkauman dan agama sampai pada peringkat mencacatkan Perlembagaan Negara atas kepercayaan akan menjadi bangsa dan agama yang kuat.

Sebenarnya ini adalah kepalsuan dan penipuan diri sendiri.

Tiada ulasan: