Ahad, 16 April 2017

Hadi: BERSATU kena pilih PAS atau Umno

MALAYSIAKINI



Mana-mana parti politik yang bercita-cita untuk mentadbir Malaysia perlu memilih antara bekerjasama dengan PAS atau Umno, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu wawancara hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan kesan kepada politik Melayu memandangkan parti itu akan memecahkan undi orang Melayu.

"Kuasa politik orang Melayu ada pada PAS dan Umno. Jika mana-mana parti nak tadbir Malaysia, pilih PAS atau Umno. Kita terbuka kepada mana-mana parti nak bersama dengan PAS, syaratnya terima Islam," katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia.

Abdul Hadi bulan lalu berkata, PAS akan memutuskan hubungan dengan BERSATU jika ia secara rasmi menyertai gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (HARAPAN).

Sebelum menyertai HARAPAN, BERSATU sejak akhir tahun lalu berusaha untuk menjalinkan kerjasama dengan PAS bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya umum akan datang.

Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin Februari lalu berkata perjanjian berasingan dengan PAS akan membawa kepada hubungan yang lebih kukuh antara parti-parti pembangkang.

Selamatkan negara melalui Islam

Sementara itu, mengenai hubungan dengan PKR, Abdul Hadi berkata kepimpinan pusat parti itu akan mendengar terlebih dahulu pandangan akar umbi semasa Muktamar di Kedah sebelum dibincangkan di peringkat kepimpinan parti.

Pemuda PAS Johor adalah antara yang terbaru meluluskan resolusi untuk memutuskan hubungan dengan PKR, berikutan beberapa laporan media yang mendakwa 12 daripada 13 kawasan PAS di Pulau Pinang telah meluluskan resolusi yang sama.

Berhubung ucapan dasar yang akan disampaikan di Muktamar PAS tahun ini, Abdul Hadi berkata beliau akan menyampaikan mesej kepada perwakilan dan rakyat mengenai aspirasi PAS untuk "selamatkan negara dengan Islam.

"Ini kerana, selepas terbuktinya kegagalan agama dan ideologi lain dalam menyelesaikan masalah ekonomi, politik dan moral, kini sudah tiba masanya Islam diberi peluang untuk menyelesaikan masalah negara.

"Kita mahu tukar sistem yang sedia ada dengan sistem Islam, tidak cukup sekadar tukar individu semata-mata," katanya.


Tiada ulasan: