Rabu, 12 April 2017

Esok Rafizi dedah pemimpin PAS terima dana 1MDB, Jumaat ke SPRM

 Berita Daily Staff

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula akan dibuat pada Jumaat, 14 April , pukul 11 pagi.

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata beliau akan mendedahkan nama bekas pemimpin PAS yang menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui sidang media di laman Facebook miliknya esok.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula akan dibuat pada Jumaat, 14 April , pukul 11 pagi.

“Saya akan menamakan tokoh bekas pimpinan PAS yang menerima dana 1MDB dari akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak yang disiasat dalam satu sidang media pada jam 1 tengahari esok (Khamis, 13 April 2017) yang akan disiarkan secara #FBLive di laman Facebook saya.

“Pada hari Jumaat, 14 April 2017 jam 11 pagi saya akan membuat laporan SPRM bersama-sama dengan maklumat yang saya perolehi di Ibupejabat SPRM, Putrajaya,” kata Rafizi, memetik kenyataan di laman facebook miliknya, hari ini.

Beliau berkata, pendedahan itu dibuat bagi membolehkan rakyat membuat keputusan tepat ketika mengundi.

“Saya serahkan segala-galanya kepada Allah dan rakyat Malaysia untuk menghakimi tindakan saya kerana niat saya adalah jelas.

“Rakyat berhak mendapat maklumat yang jujur mengenai niat dan kedudukan setiap parti politik berhubung penyelewengan negara seperti skandal 1MDB agar mereka dapat membuat keputusan di peti undi secara adil,” katanya lagi.

Rafizi sebelum ini mendakwa pihaknya mempunyai maklumat seorang bekas pemimpin tertinggi parti Islam itu menerima dana 1MDB yang disalurkan melalui akaun Najib.

Tiada ulasan: