Isnin, 3 April 2017

China tentukan kontraktor ECRL bukti Malaysia mula dijajah, kata PKR

Berita Daily Staff

Perkara ini merupakan bukti Malaysia terhutang budi dengan negara yang memberikan pinjaman modal.

KUALA LUMPUR: Malaysia mula dijajah apabila China diberikan kuasa menentukan kontraktor bagi Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), kata Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail.

Beliau berkata, perkara itu adalah bukti kesan daripada pinjaman modal dari negara tersebut sehingga kerajaan gagal mempertahankan hak-hak Malaysia.

“Bagi saya, amatlah malang Malaysia tidak mempunyai hak untuk menentukan kontraktor pilihan dalam projek di negara sendiri. Malah, situasi ini akan menyisihkan syarikat-syarikat tempatan sehingga tidak akan berlaku perpindahan pengetahuan dan teknologi.

“Pada pandangan saya, ini mungkin projek strategik nasional pertama yang diserahkan bulat-bulat kepada sebuah negara asing untuk dilaksanakan.

“Kesan pinjaman modal daripada China ini, kelihatan kerajaan Umno dan BN yang terhutang budi seolah-olah berdiam diri dan tidak mempertahankan hak-hak Malaysia di kawasan Laut China Selatan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas jawapan bertulis Perdana Menteri Najib Razak di Parlimen bahawa kontraktor bagi projek ECRL telah dicalonkan oleh China.

Ujar Najib, Malaysia telah diberikan syarat-syarat pembiayaan yang menarik sebagai pertukaran untuk China mencalonkan kontraktor pilihannya.

Jawapan tersebut adalah sebagai respons kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua yang mahu kerajaan menyatakan kewajaran menganugerahkan kontrak ECRL kepada syariakt pembinaan terbesar milik negara China iaitu China Communications Constructions Companya (CCCC).

Azan dalam pada itu menambah, disebabkan tindakan kerajaan yang berhutang dengan negara tersebut, maka Malaysia kini mula dijajah menerusi dominasi pekerjaan dan pemberian projek.

“Bagi saya, situasi ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia mula dijajah oleh kuasa asing melalui dominasi pekerjaan, pemberian projek dan hutang 1MDB (1Malaysia Development Berhad) yang sukar dibayar.

“Dalam hal pekerjaan, projek ECRL ini juga dijangka tidak akan memberi faedah yang besar kepada rakyat kerana China dijangka akan membawa masuk pekerja serta bahan binaan daripada Tanah Besar,” menurutnya lagi.

Tiada ulasan: