Isnin, 17 April 2017

Buat apa saman orang muflis?: Rafizi

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli - Foto Sinar Harian oleh Afiq Razali

SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa tindakan menyaman pengendali laman Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin adalah membazirkan wang.

Menurutnya, beliau sedia maklum atas status Raja Petra sebagai seorang muflis sejak tahun 2001 lagi.
"Kalau pun saya menang (saman) saya tidak akan dapat apa-apa pampasan dari beliau (Raja Petra) malah kena bayar lagi yuran guaman.

"Lagipun, Raja Petra merasakan dia dilindungi dari sebarang tindakan kerana berada di United Kingdom, namun begitu, saya bukan mahukan wang tetapi kebenaran, " katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mempersoalkan tindakan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang hanya bertindak melakukan akuan bersumpah (SD) semata-mata bagi menafikan tuduhan blogger, Raja Petra Kamaruddin.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kenapa Rafizi tidak saman Raja Petra?]

Raja Petra pada 8 April lalu, mendakwa ahli perniagaan, Datuk John Soh Chee Wen pernah menyalurkan wang berjuta-juta ringgit kepada Rafizi dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution disamping beberapa pemimpin lain, Rafizi bagaimanapun, bertindak membuat SD  bagi menafikan dakwaan tersebut.

Sementara itu, Rafizi turut menegur Mohd Amar yang mencemar nama baik Pas apabila turut mengheret Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertikaian ini.

"Saya lihat beliau (Mohd Amar) terkeliru bahawa Saiful Bukhari memfitnah Anwar Ibrahim dengan laporan polis, bukannya kaedah akuan berkanun kerana hukuman berbuat demikian adalah berat.

"Akuan Berkanun yang sering dirujuk di dalam fitnah sodomi oleh Saiful, adalah satu akuan berkanun oleh doktor Hospital Pusrawi dan ketika perbicaraan, akuan berkanun itu dan bukti-bukti perubatan tersebut tidak diendahkan oleh hakim-hakim," katanya lagi.

Justeru, Rafizi meluahkan rasa kecewa beliau kerada tokoh-tokoh tidak menyelidik sesuatu fakta dan akan mengambil tindakan saman terhadap Raja Petra.

"Malang sekali, fitnah beliau sering digunakan oleh tokoh-tokoh masyarakat yang tidak menyelidik dahulu fakta sesuatu perkara.

"Oleh itu, selepas tarikh menjawab surat tuntutan yang dikemukan peguam saya tamat, saya akan menfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Raja Petra.

"Walaupun beliau seorang yang muflis, saya mahu melihat beliau dibawa balik ke Malaysia pada satu hari nanti untuk menjawab semua pertuduhan terhadap beliau termasuklah saman fitnah saya terhadap beliau," tambahnya lagi.

Tiada ulasan: