Khamis, 13 April 2017

Bila cukai turun banyak wang ke saku rakyat, galak ekonomi berkembang

MALAYSIA
OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM: Negara dijangka terus bergelut dalam suasana pertumbuhan ekonomi perlahan ekoran dasar ‘procyclical’ (prokitaran) ekonomi diamalkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyebabkan ekonomi negara tidak berkembang.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, sebaliknya Najib sepatutnya mengamalkan dasar ‘anticyclical’ supaya dapat membawa ekonomi negara keluar daripada kitaran pertumbuhan perlahan ekonomi pada masa ini.

“Bila cukai turun, lebihlah wang akan masuk ke saku rakyat dan rakyat boleh berbelanja di mana ini menggalakkan pertumbuhan ekonomi, tetapi ekonomi kita semakin perlahan dan kamu naikkan lagi cukai ini menyebabkan pertumbuhan lagi makin perlahan.

“Patutnya kerajaan ambil pendekatan ‘anticyclical’, kurangkan cukai dan menggalakkan pertumbuhan. Ini dah songsang kerana kerajaan ambil dasar ‘procyclical’ yang akan mempercepatkan lagi ekonomi Malaysia terjerumus ke dalam suasana kemelesetan ekonomi,” kata Rosli ketika dihubungi SelangorKini di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas langkah kerajaan baru-baru ini menaikkan cukai eksais kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) sebanyak 5 peratus di samping mengekalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Jelasnya, langkah Kerajaan Persekutuan menaikkan cukai eksais kenderaan MPV dan SUV sebanyak lima peratus juga menyebabkan kehidupan keluarga berpendapatan sederhana dan rendah semakin tertekan.

Kerajaan Persekutuan sepatutnya lebih cermat ketika mengurus ekonomi negara kerana melibatkan kepentingan rakyat.=EZY=

Tiada ulasan: