Khamis, 13 April 2017

Bersih: Jamal lapor polis, gesa buka semula kertas siasatan

Khairuddin Mohd Amin
 
Jamal Md Yunos menunjukkan laporan polis yang dibua
terhadap Zuraida Kamaruddin.
AMPANG – Pengerusi Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos bersama sembilan pengikutnya yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini membuat 10 laporan polis ke atas ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Jamal dan pengikutnya membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah meminta pihak polis membuka semula kertas siasatan kes mereka memandangkan individu yang mencetuskan provokasi masih bebas.

“Kami minta pihak polis menjalankan siasatan terhadap kumpulan Bersih yang diketuai oleh Zuraida di Ampang ketika kes kami ini.

“Kami minta polis jalankan siasatan atau buka kembali kertas siasatan untuk menyiasat sepenuhnya kejadian itu supaya tidak berlaku perkara terlepas pandang, mungkin polis terlepas pandang, hanya menuduh kami,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Balai Polis Pandan Indah, di sini, hari ini.

Terdahulu, Jamal dan sembilan pengikutnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan.

Jamal bersama Reza Jamin, 26; Ariffin Abu Bakar, 47; Mohd Shabudin Abu Hassan, 47; Izzrul Idris, 32; Hasannen Zikri Harizan, 24; Mohd Faiz Amirul Mahsan, 22; Mohd Yusoff Mohd Sharif, 26; Abd Razak Hassan, 29 dan R.Balaguru, 30 mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka sebagai ahli satu kumpulan perhimpunan menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama didakwa telah menggunakan kekerasan untuk menentang pelaksanaan undang-undang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam bangunan pusat beli-belah Ampang Point, Ampang Jaya pada jam 4 petang, 13 November 2016.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: