Ahad, 2 April 2017

'Barang pinjam perlu dipulang kembali', PAS sindir PKR

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Secara sinis, PAS Gombak hari ini meminta agar kerusi Parlimen kawasan itu yang dipinjamkan kepada PKR pada pilihan raya lalu, dikembalikan semula kepada parti itu.
 
Yang Dipertua PAS Gombak, Salehuddin Nasir berkata demikian mengulas 'bayangan' Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki bahawa parti itu mahu mendapatkan kembali kerusi-kerusi PAS yang dipinjam kepada PKR dalam pilihan raya yang lalu.
 
"Mengikut hukum syarak, barang yang dipinjam perlu dipulangkan kembali. Nyawa yang Allah SWT beri pinjam, pun kena pulang balik, bukan?," jawabnya yang ditemui Antarapos di Mesyuarat PAS Kawasan Gombak, hari ini.
 
Zuhdi dalam kenyataannya bulan lalu berkata langkah itu akan diambil jika muktamar tahunan PAS yang berlangsung di Kedah pada hujung bulan ini membuat keputusan memutuskan kerjasama politik yang diikat dengan PKR.
 
Senada dengan kenyataan itu, Salehuddin juga berkata pihaknya menerima apa sahaja keputusan pimpinan PAS Pusat kelak.
 
"(Namun) Berdasarkan keputusan pimpinan PAS Pusat dan berdasarkan keputusan Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat. 
 
"Jika pimpinan tertinggi PAS kata masuk (bertanding di Gombak), kita masuk. Jika pimpinan kata jangan masuk dan kekalkan PKR, kita patuh. PAS tiada masalah. 
 
"Tunggu pimpinan yang putuskan sebab kita tidak akan mendahului pimpinan," ujarnya lagi.
 
Kerusi Parlimen Gombak merupakan kerusi tradisi PAS, yang dipinjamkan kepada PKR. Ia kini disandang oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali selepas Timbalan Presiden PKR itu menang pada PRU13 yang lalu.  
 
Isu kerusi Gombak timbul selepas  Azmin baru-baru ini mempersendakan kekuatan seorang 'tok lebai' yang bercita-cita hendak menawan Selangor, walaupun “kalah tersungkur” di kawasan sendiri.
 
Tweet itu ditujukan kepada Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang kalah teruk dengan 37 undi pada pemilihan PAS peringkat kawasan di Pengkalan Chepa.
 
Tulisan Azmin itu juga mengundang kemarahan meluas akar umbi PAS sehingga mendesak kerusi Gombak yang dipinjamkan kepada PKR sebelum ini dipulangkan kembali.
 
 

Tiada ulasan: