Isnin, 10 April 2017

Bagaimana Amanah tahu Allahyarham Nik Aziz akan sokong mereka, soal Khalil

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS hairan bagaimana Amanah boleh menyifatkan bekas Mursyidul Am, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat akan selari dengan perjuangan mereka, sedangkan tokoh ulama itu tetap bersama PAS sehingga ke akhir hayatnya.
 
Sambil membidas Amanah yang menggunakan 'pandangan' orang yang sudah meninggal dunia, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan, tindakan berkenaan dilakukan demi menghalalkan cara. 
 
Beliau mengulas mengenai dakwaan kononnya Allahyarham Nik Aziz, sekiranya masih hidup, akan menyokong kerjasama politik Pakatan Harapan (PH) dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
"Orang yang sudah meninggal kita tidak boleh buat hujah untuk menyokong kita, dan dalam konteks ini adalah Amanah. 
 
"Malah Nik Aziz meninggal dunia dalam keadaan jawatannya adalah Mursyidul Am PAS. Jadi bagaimana Amanah berhujah Tok Guru akan ikut pendekatan yang diambil mereka pada hari ini? Sedangkan Tok Guru meninggal dunia dalam keadaan beliau seorang pimpinan tinggi di dalam PAS, iaitu Ketua Majlis Syura Ulama," tegasnya.
 
Malah Khalil turut menyifatkan ia sebagai hujah yang dangkal, apabila menggunakan nama Nik Aziz yang diketahui sebagai tokoh yang dikagumi semata-mata menghalalkan tindakan mereka yang tersasar daripada PAS.
 
"Ini satu tindakan untuk menutup kelemahan yang ada pada Amanah dengan 'menampal' seorang tokoh yang disegani oleh seluruh rakyat," katanya kepada Antarapos.
 
Reaksi Khalil itu merujuk kepada dakwaan yang dibuat Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa bahawa Nik Aziz akan menyokong kerjasama politik pembangkang dengan Dr Mahathir, sekiranya bekas menteri besar Kelantan itu masih hidup.
 
Husam juga berkata perjuangan beliau dan rakan-rakan yang lain 'direstui' Nik Aziz kerana percaya aliran PAS tidak lagi sama sebagaimana yang pernah dipimpin tokoh berkenaan.
 
Selain Husam, turut mengeluarkan kenyataan yang serupa adalah Mohamad Sabu ketika kedua-duanya memberi ucapan dan pembentangan di Seminar Pemikiran Tok Guru Nik Aziz anjuran Amanah semalam.
 
Presiden Amanah itu mendakwa 'iman' PAS tidak dapat diwarisi daripada bekas mursyidul amnya, sehingga menyebabkan parti itu kini 'seiring sejalan' dengan Umno.
 
Diajukan hal itu, Khalil sekali lagi mempertahankan dasar PAS dengan menegaskan parti berkenaan 'hidup' bukan berpaksikan perjuangan individu semata-mata.
 
"PAS sebagai sebuah parti yang tidak terikat dengan mana-mana individu. PAS mempunyai perlembagaan yang jelas disebut di dalamnya dasar Islam, bersumberkan Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias.
 
"Kalau hendak kata Tok Guru sebagai seorang tokoh PAS, beliau sendiri meinggal sebagai jemaah PAS. Jadi bagaimana mereka boleh kata PAS lari dari dasar perjuangan Islam," tegas Khalil lagi.
 
Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu kemudiannya menyifatkan Amanah adalah satu-satunya perjuangan tulen yang diterjemahkan menerusi kepimpinan Nik Aziz.
 
 

Tiada ulasan: