Selasa, 4 April 2017

Azmin perlu PAS untuk kekal berkuasa di Selangor - Penganalisis

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali enggan Selangor jatuh ke tangan Umno-Barisan Nasional (BN), disebabkan itu beliau bertegas supaya PAS perlu kekal dalam kerajaan negeri.
 
Menurut penganalisis politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, menteri besar itu sedar bahawa jika parti pembangkang berpecah di negeri itu, ianya akan memberi kelebihan kepada Umno-BN. 
 
"Dalam konteks ini kemungkinan itu yang dimahukan oleh Azmin untuk kekal kerana dia tahu selagi pembangkang bersatu di situ (Selangor) memang Umno ada kesukaran untuk mendapatkan balik pentadbiran negeri Selangor.
 
"Jadi Azmin mungkin merasakan bahawa jaminan kemakmuran ekonomi negeri itu terletak pada kestabilan politik maksudnya kerjasama antara pakatan pembangkang supaya tidak berpecah. Jadi itu yang dia rencanakan," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini. 
 
Azmin beberapa hari lalu menegaskan PAS tidak perlu meninggalkan pentadbiran kerajaan Selangor meskipun ada pihak yang mendesak ia berbuat demikian.
 
Ia ekoran tindakan beberapa PAS kawasan yang meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dengan PKR kerana parti itu dilihat tidak menghormati PAS sebagai rakan sekutu. 
 
Pimpinan tertinggi PAS bagaimanapun berkata tahaluf siyasi dengan PKR hanya akan ditentukan pada Muktamar parti, hujung bulan ini.
 
Dalam pada itu kata Azizuddin, walaupun pakatan rakyat sudah berpecah di peringkat nasional namun Azmin mahukan PAS dan PKR bersatu bagi membentuk kerajaan Selangor selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
 
Malah beliau juga berpandangan, kedua-dua parti masih memerlukan antara satu sama lain dalam konteks pentadbiran negeri Selangor.
 
"Mereka memang saling memerlukan tetapi PAS ini dia ego lebih sedikit dia nak jadi dominan tetapi sebenarnya parti itu tidaklah berapa kuat di Selangor.
 
"Wujud sedikit tarik tali antara parti-parti politik ini," katanya.
 
Tambah Azizuddin, sikap antara kedua-dua parti akan menjadi penentu hala tuju kepada kerjasama yang dipertahankan selama ini.
 
"Tapi kalau rasa mahu teruskan berkuasa di Selangor perlukan kerjasama, kalau tidak saya rasa tak perlulah nak bekerjasama. Lawanlah sesama sendiri.
 
"Kalau parti tersebut memilih untuk melawan masing-masing, yang beri kelebihan kepada Umno untuk bentuk kerajaan nanti," tambahnya.
 
 

Tiada ulasan: