Ahad, 9 April 2017

Anwar hormat hak Abdul Hadi bentang usul persendirian pinda RUU 355


Berita Daily Staff


Satu aspek kontroversi dan membimbangkan dalam RUU355 adalah hukuman yang jauh lebih tinggi daripada yang sedia ada dan perlu penelitian dan pemerincian.

KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim menghormati hak Presiden PAS, Abdul Hadi Awang untuk membawa usul persendirian bagi meminda Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355 bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.

Beliau bagaimanapun melahirkan kekesalan dan mendakwa, Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia mengambil menangguhkan peluang ahli Parlimen lain untuk membahaskan perkara itu di Dewan Rakyat,

“Ini jelas bertentangan dengan amalan demokrasi dan prinsip syura serta perundingan dalam Islam. Saya percaya Abdul Hadi tidak akan keberatan untuk meneruskan perbahasan.

“Kegagalan speaker dan kerajaan BN untuk bertindak serius dalam perkara tersebut memperkukuhkan persepsi bahawa kerajaan sengaja melengahkan dan mengharapkan agar kontroversi akan berlarutan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi.

Abdul Hadi berjaya membentangksn usul persendirian bagi meminda RUU 355 selepas Pandikar memberikan laluan kepadanya untuk berbuat demikian ketika hari terakhir sidang Dewan Rakyat untuk sesi tersebut pada 6 April lalu.

Perbahasan bagaimanapun ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat akan datang, bermula 24 Julai.

Anwar berkata PKR telah menyatakan kerelaan menyertai Jawatankuasa Pilihan untuk meneliti, secara menyeluruh, pemerkasaan Mahkamah Syariah yang akan dilaksanakan termasuk yang berikut: keutuhan, kebebasan dan kompetensi kehakiman Mahkamah Syariah, pendakwaan bebas, sistem penjara termasuk tahap hukuman, program latihan yang perlu serta infrastruktur yang lebih baik dan belanjawan yang bersesuaian.

“Maknanya, usul Jawatankuasa Pilihan lebih luas dan mencakupi, dan tidak hanya terbatas kepada tahap hukuman,” katanya.

Katanya, satu aspek kontroversi dan membimbangkan dalam RUU355 adalah hukuman yang jauh lebih tinggi daripada yang sedia ada dan perlu penelitian dan pemerincian.

“Pendekatan ini lebih bermakna dan terjamin keberkesanannya, dan akan membuka peluang untuk memberikan penjelasan kepada rakyat termasuk bukan Islam,” katanya lagi

Tiada ulasan: