Jumaat, 14 April 2017

‘Ah Chong’ serah diri di SPRM

Bernama

Khairul Anuar, 43, yang lebih dikenali sebagai ‘Ah Chong’ di kalangan pemain dan peminat bola sepak tempatan, tiba di ibu pejabat SPRM di sini kira-kira 10.45 pagi dengan diiringi peguam.

PUTRAJAYA: Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khairul Anuar Baharum, hari ini menyerah diri di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes mengatur perlawanan Liga Perdana membabitkan pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA).

Khairul Anuar, 43, yang lebih dikenali sebagai ‘Ah Chong’ di kalangan pemain dan peminat bola sepak tempatan, tiba di ibu pejabat SPRM di sini kira-kira 10.45 pagi dengan diiringi peguam.

Difahamkan beliau ditahan kira-kira 12.30 tengah hari selepas pegawai penyiasat mendapatkan maklumat awal berhubung siasatan kes tersebut.

Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki yang mengesahkan penahanan Khairul Anuar itu berkata siasatan akan dijalankan bagi mengumpul bukti berkaitan kes pengaturan keputusan perlawanan Liga Perdana melibatkan pasukan MISC-MIFA.

Ketika tiba di ibu pejabat SPRM, Khairul Anuar kelihatan terkejut dengan kehadiran pengamal media di kawasan tersebut yang sebenarnya menanti Naib Presiden PKR Rafizi Ramli untuk mengemukakan satu laporan di SPRM.

Razifi pula tiba kira-kira 12 tengah hari di ibu pejabat SPRM itu untuk mengemukakan bukti berkaitan pemindahan wang SRC International.

Selasa lepas, SPRM meminta Khairul Anuar hadir ke ibu pejabat SPRM secepat mungkin bagi membantu siasatan berhubung kes mengatur perlawanan itu.

Khairul Anuar pernah bermain untuk pasukan Selangor dan Negeri Sembilan.

Rabu lepas, tiga pemain MIFA yang ditahan reman selama tujuh hari berhubung kes yang sama telah dibebaskan dengan jaminan SPRM oleh Mahkamah Majistret Putrajaya manakala seorang lagi lelaki yang merupakan ‘bookie’ disambung reman sehingga 17 April ini.

Khairul Anuar dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.-Bernama

Tiada ulasan: