Rabu, 5 April 2017

ADUN DAP dakwa sebuah kampung 'hilang'

MALAYSIAKINI


ADUN DAP dari Johor menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menarik balik cadangan persempadanan semula yang dikemaskini berikutan 'kehilangan' sebuah kampung di Johor daripada senarai yang diterbitkan pada 9 Mac.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, empat ADUN DAP iaitu Tan Hong Pin (Mengkibol), Tan Chen Choon (Jementah), Lim Eng Guan (Bekok) dan Ee Chin Li (Tangkak), mendakwa Kampong Teratai yang mempunyai 876 pengundi, hilang daripada senarai.

"Kampong Teratai adalah sebuah kampung yang terletak di sempadan kawasan Dewan Undangan Negeri Jementah, Tangkak, Bekok dan Bukit Serampang," kata mereka.

Pada pilihan raya umum lepas, kampung tersebut diletakkan di bawah DUN Jementah dan Bukit Serempang sebelum dipindahkan ke Bukit Serempang pada bulan Mei 2016.

Di bawah cadangan persempadanan semula yang pertama diterbitkan pada bulan September 2016,
Kampong Teratai diletakkan di kawasan Dewan Undangan Negeri Gambir, manakala pada cadangan persempadanan semula terbaru, nama kampung itu hilang daripada senarai.

Pada 16 Mac, Anggota Parlimen Serdang Ong Kian Ming menunjukkan kesilapan yang dibuat ketika persempadanan semula kedua, antara lain, kehilangan daerah mengundi Kampung Teratai.

ADUN tersebut berkata ini bermakna 876 pengundi dari kampung tersebut tidak akan dapat menggunakan hak untuk mengundi seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

"SPR perlu menjalankan persempadanan semula dengan cara yang lebih telus," kata mereka.

Mereka menggesa SPR memasang kain rentang di daerah mengundi yang terlibat dalam persempadanan semula itu dan menerbitkan cadangan di pusat-pusat pameran untuk diperiksa oleh pengundi.

"Untuk menunjukkan kesungguhan dan profesionalisme, SPR perlu menarik balik cadangan kedua dan kaji semula dengan mengambil kira bantahan yang diterima semasa cadangan yang pertama," katanya.


Tiada ulasan: