Sabtu, 15 April 2017

Adakah PKR sokong tindakan Rafizi kaitkan dana 1MDB dengan PAS?

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPM) mempersoalkan adakah pemimpin PKR yang lain menyokong tindakan naib presidennya, Rafizi Ramli melancarkan 'serangan' kepada PAS.
 
"Timbul persoalan, adakah tindakan Rafizi kebanyakannya tidak mendapat dokongan daripada kepimpinan PKR sepertimana yang berlaku dalam isu RUU355?," soal Naib Ketua DPPM, Khairil Nizam Khirudin.
 
Sebelum ini Antarapos melaporkan dua pemimpin kanan PKR, Dr Xavier Jayakumar, Datuk Abdullah Sani menjarakkan diri dan berkata pendedahan itu bukan mewakili PKR.  
 
Khamis lalu, Rafizi membuat pendedahan dengan mendakwa bekas pemimpin PAS, Datuk Dr Nasharuddin Mat Isa menerima dana daripada 1Malaysian Development Berhad.
 
Rafizi pada 6 April memberitahu beliau akan mendedahkan  seorang tokoh pemimpin PAS menerima dana awam tersebut.
 
Namun ternyata pendedahannya 'makan tuan' kerana beliau pula yang menjadi sasaran kritikan berikutan tindakannya yang dengan sengaja cuba mengaitkan PAS dalam isu itu.
 
PAS bertegas, Nasharuddin sudah lama tidak aktif dalam PAS sejak gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden PAS pada 2011.
 
"YB Rafizi Ramli mengamalkan politik ala Machiavelli. Secara tidak langsung, hal ini semakin memburukkan hubungan PAS dan PKR," menurut Khairil.
 
Malah Nasharuddin sendiri menafikan tuduhan Rafizi dan sudah mengarahkan pasukan peguamnya untuk memulakan tindakan undang-undang ke atas Ahli Parlimen Ampang itu.
 
Beliau berkata ini bukan kali pertama Rafizi 'mengusik' PAS.
 
"Sebelum itu, Rafizi telah menuduh Presiden PAS hanya menyebut sekali sahaja perkataan 1MDB di Parlimen. 
 
"Walhal, PAS secara keseluruhan, melalui mesyuarat dan keputusan parti telah jelas menyatakan pendirian tegas berhubung skandal kewangan 1MDB sejak tahun 2011 lagi.
 
"Begitu juga dalam isu pembentangan RUU355. Rafizi mendakwa Speaker Dewan Rakyat dengan sengaja menyekat ahli-ahli Parlimen pembangkang untuk berbahas dan menuduh Presiden PAS mempunyai muslihat dengan Umno dalam membentangkan RUU355 tersebut," ujarnya.
 
Khairil berkata Rafizi mungkin berniat baik untuk membongkarkan ketidaktelusan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan pemerintah, namun beliau menasihatkan Rafizi agar fitnah, jangan mengamalkan politik ala Machiavelli serta menimbulkan persepsi jahat kepada pihak lain.
 
Tidak berniat mahu mengaibkan Rafizi, Khairil kemudiannya  menyenaraikan beberapa pendedahan yang pernah dibuat Rafizi, namun ternyata ia tidak solid.
 
1.      Dakwaan Rafizi terhadap Kerajaan Malaysia yang membeli 6 buah kereta mewah jenis BMW ketika rakyat dihimpit tekanan kos sara hidup akibat pelaksanaan GST. Dakwaan ini telah dinafikan oleh pihak BMW Group Malaysia.
 
2.      Dakwaan Rafizi terhadap pihak pengurusan 1MDB yang melanggar syarat-syarat perjanjian sukuk dalam projek pembangunan Bandar Malaysia. Dakwaan ini telah dinafikan oleh pihak pengurusan 1MDB.
 
3.      Dakwaan Rafizi terhadap pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji kerana memberi jaminan korporat kepada syarikat TH Heavy Engineering Berhad. Pihak LTH telah membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut.
 
4.      Dakwaan Rafizi terhadap pihak pengurusan Lembaga Tabung Angkatan Tentera berhubung dakwaan pembayaran gratuiti kepada pencarum LTAT. Pihak LTAT telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Rafizi.
 
5.      Dakwaan Rafizi berhubung permintaan wang dan habuan wanita dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor. Menteri Besar Selangor, YAB Azmin Ali telah menempelak dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu fitnah jahat dan jijik.
 
6.      Dakwaan Rafizi terhadap Pengerusi Eksekutif NFC berhubung kes pembelian hartanah di KL Eco City, Bangsar. Rafizi telah diperintahkan untuk membayar RM 300,000 kepada defendan.
 
7.      Dakwaan Rafizi terhadap pengurusan LTH yang menyebabkan tabung dana rakyat menghadapi kedudukan kewangan yang lemah. Bekas CEO LTH sendiri telah menjelaskan secara terperinci kedudukan kewangan LTH dan menempelak sikap Rafizi yang cuba mencetuskan persepsi buruk.
 
8.      Terakhir, Rafizi mendakwa jumlah kes hakim Mahkamah Syariah yang ditahan dan ditangkap kerana rasuah adalah lebih tinggi daripada hakim Mahkamah Sivil. Tuduhan jahat ini telah disangkal secara keras oleh Persatuan Pegawai Syariah Malaysia.
 
Ini adalah sebahagian kes-kes tuduhan liar dan fitnah yang telah dilontarkan oleh Rafizi Ramli. Siri-siri kejahatan ini seharusnya menyedarkannya untuk sentiasa berhati-hati dalam berpolitik. 
 
Khairil berkata politik adalah sebahagian daripada agama dan berpolitiklah dengan akhlak yang betul.
 
 

Tiada ulasan: