Jumaat, 14 April 2017

Adakah kritik pemimpin satu kesalahan?

 Berita Daily Staff

Adakah tindakan oleh kerajaan ini seolah-olah menghalang rakyat daripada diberitahu perkara sebenar?

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh hari ini mendesak oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Jailani Johari supaya menjelaskan amaran yang dikeluarkan olehnya kepada 22 juta pengguna internet pada 13 April lalu mengenai frasa ‘mengaibkan pemimpin’.

Dalam satu kenyataan, Syed Ibrahim berkata bahawa beliau bersetuju jika amaran tersebut mencegah pengguna internet daripada mengeluarkan kenyataan palsu. Apatah lagi jika dilihat pada setiap ‘post’ di Facebook Najib Razak, terdapat segelintir pengguna akaun palsu yang menaip hashtag #RespectMyPM.

“Kerajaan harus siasat perkara itu sama ada ianya dikeluarkan oleh pemilik akaun sebenar atau dibayar untuk memalsukannya demi memberi sokongan kepada PM semata-mata.”

“Saya turut bersetuju juga dengan pandangan kerajaan bahawa kita perlu membanteras penularan fahaman-fahaman di internet yang berpotensi mengancam keselamatan negara seperti ideologi Daesh dan sebagainya,” katanya selepas membalas kenyataan Jailani supaya mengelak membuat kenyataan palsu, mengaibkan negara dan pemimpin.

Jailani dipetik berkata sebagai, kementerian itu tidak akan sewenang-wenangnya melepaskan individu yang didapati melakukan kesalahan terbabit, malah bakal berdepan tindakan undang-undang.

Tambahnya, kini pelbagai isu menjadi viral termasuk penghinaan terhadap negara dan pemimpin, mensabotaj ekonomi, selain penyebaran ideologi Daesh yang semakin berleluasa di internet.

Dalam pada itu, Syeh Ibrahim menyarankan Kementerian Komunikasi dan Multimedia supaya membanteras penulisan dan visual yang berbaur perkauman sehingga mampu merosakkan perpaduan dan keharmonian negara.

“Kerajaan BN seharusnya mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang benar-benar bersalah dan bukan sebagai satu cubaan menutup malu atas kebobrokan pentadbiran Najib Razak.”

“Kritikan seharusnya dilakukan oleh rakyat kepada pemimpin. Perkara ini juga termasuk mendedahkan salah laku pemimpin berteraskan fakta dan bukti. Rakyat berhak tahu apa yang terjadi kepada negara, termasuklah dalam perihal ekonomi, pentadbiran dan sistem sosial,” katanya.

“Adakah tindakan oleh kerajaan ini seolah-olah menghalang rakyat daripada diberitahu perkara sebenar? Tanpa pendedahan skandal penyelewengan dan rasuah, sudah pasti pihak berkuasa tidak didorong untuk melaksanakan siasatan,” soal beliau lagi.

Tambahnya, amaran yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia tidak menghapuskan budaya demokrasi dan menggalakkan kritikan rakyat terhadap pemimpin.

“Teringat kata-kata seorang tokoh, “Jika enggan menerima kritikan, maka berhentilah menjadi pemimpin”.
Frasa ini juga hampir serupa dengan kata-kata Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu “Kalau takut akan risiko, usah bicara tentang soal perjuangan,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: