Selasa, 18 April 2017

Ada pihak sengaja sabotaj PBR, dakwa Khairuddin

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Bebas Rasuah (PBR) Datuk Seri Khairudin Abu Hassan mendakwa, Datuk Huan Cheng Guan dan Datuk G Kumar Aamaan sengaja melakukan sabotaj untuk menggagalkan pelantikan beliau dan Datuk Mohd Ezam Mohd Nor sebagai kepimpinan baru Parti Generasi Baru (NewGen Party).
 
Malah beliau menegaskan bahawa pelantikan Datuk Mohd Ezam Mohd Nor menyandang jawatan Presiden dan beliau sebagai Timbalan Presiden telah dibuat mengikuti lunas undang-undang Pendaftar Pertubuhan (RoS). 
 
"Setiap peraturan serta undang-undang Pendaftar Pertubuhan telah dipatuhi sebelum kami berdua dilantik untuk menerajui kepimpinan baru parti ini," katanya dalam satu kenyataan media.
 
Kenyataan yang dibuat Khairudin ini merujuk kepada dakwaan yang dibuat kepimpinan asal Parti Generasi Baru (NewGen Party) semalam, yang mendakwa beliau dan Ezam 'merampas' parti berkenaan dan menukar namanya kepada PBR.
 
Tambah Khairuddin lagi, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk menimbang perkara ini dan membuat keputusan.
 
"Namun, saya amat bersetuju dengan kenyataan Datuk Mohd Ezam Mohd Nor bahawa kami akan serahkan kepada RoS untuk meneliti tuduhan tanpa asas dan fitnah ini seterusnya membuat keputusan secara telus, adil serta saksama.
 
"Apa-apa keputusan yang bakal dibuat oleh pihak RoS akan kami hormati kerana Datuk Mohd Ezam Mohd Nor, saya dan keseluruhan anggota majlis tertinggi parti amat menghormati 'the rule of law'," ujar beliau lagi. 
 
Dalam pada itu Khairudin berkata, sekiranya keputusan memihak kepada mereka, PBR tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Cheng Guan dan  Kumar.
 
Kumar dalam satu sidang media mendakwa pertukaran itu telah dilakukan tanpa pengetahuannya selaku Presiden, selain tidak melalui mesyuarat atau notis serta tanpa persetujuan lebih 300 ahli.
 
Menurut Kumar, pengumuman yang dilakukan pada hujung Mac lalu oleh S.Gobi Krishnan, yang kini merupakan salah seorang pengasas PBR, adalah satu pelanggaran perlembagaan parti ekoran melantik jawatankuasa baharu tanpa memberi notis panggilan mesyuarat kepada Presiden. 
 
Malah katanya, Gobi Krishnan juga telah digantung keahliannya sebagai Setiausaha Agung Parti Generasi Baru pada bulan lalu.
 
Terdahulu pada 31 Mac lalu, Gobi mengumumkan pertukaran nama NewGen Party kepada PBR, selain turut mengumumkan pelantikan ahli jawatankuasa eksekutif pusat yang baru.

Tiada ulasan: