Sabtu, 15 April 2017

3 pemancing hilang ditemui selamat

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
KOTA KINABALU: Tiga pemancing yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Mengalum kelmarin, ditemui selamat di perairan Pulau Tiga, kira-kira 100 kilometer dari sini. 
 
Mohd Wapie Said, 34, Amsiran Mijan, 55 dan Malik Awang, 40, terpaksa menahan lapar lebih 20 jam kerana tidak membawa bekalan makanan sebelum diselamatkan sebuah bot pelancong pada jam 2.21 petang semalam. 
 
Mereka tiba di Pulau Gaya dan berehat di rumah saudara mereka tengah malam tadi sebelum pulang ke Kampung Likas, di sini kira-kira jam 1 pagi tadi. 
 
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kedudukan mangsa di perairan Pulau Tiga pada jam 2.14 petang semalam. 
 
"Mereka dilaporkan mendayung dalam keadaan letih dan lapar. Selepas itu, sebuah bot iaitu Bot Penyelamat 20 dikerah ke lokasi tetapi difahamkan mangsa sudah diselamatkan oleh bot pelancong dan dibawa pulang," katanya, di sini, hari ini. 
 
Ketiga-tiga mangsa dilaporkan keluar memancing di perairan Pulau Sepanggar dan Mengalum dari Kampung Likas, di sini, pada jam 7 pagi, kelmarin tetapi tidak pulang pada jam 9 malam hari yang sama seperti dijadualkan. 
 
Usaha keluarga mangsa menghubungi telefon bimbit mereka pada jam 11 malam hari yang sama juga gagal, menyebabkan satu laporan polis dibuat pagi kelmarin di Balai Polis Karamunsing, di sini, bagi meminta pihak berkuasa melakukan pencarian. 
 
Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diketuai APMM digerakkan bermula jam 10 pagi kelmarin sebelum ketiga-tiga mangsa dilaporkan selamat di perairan Pulau Tiga, Kuala Penyu pada kira-kira jam 2 petang semalam.
 
 

Tiada ulasan: