Rabu, 1 Mac 2017

YouTube bakal saingi televisyen kabel, satelit

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
SAN FRANCISCO: Rangkaian YouTube bakal melancarkan perkhidmatan televisyen secara langsung dengan menawarkan berpuluh-puluh saluran, persaingan terkini rangkaian milik Google kepada siaran televisyen kabel dan berbayar.
 
Menurut Ketua Eksekutif syarikat itu, Susan Wojcicki, YouTube TV direka untuk generasi muda yang mencari berita, filem dan lebih banyak program tanpa perlu melanggan perkhidmatan kabel atau satelit.
 
Menurut YouTube, perkhidmatan baharu itu membolehkan pelanggan di pasaran AS mendapat capaian mana-mana saluran yang disambung kepada peranti seperti ABC, CBS, Fox dan NBC, bersama rangkaian sukan dan berpuluh-puluh rangkaian kabel.
 
Saluran terbabit bakal dilancarkan beberapa bulan lagi dan mengenakan bayaran langganan AS$35 (RM155.40) sebulan, dengan enam akaun pengguna dibenarkan untuk setiap pelanggan, meletakkan ia sebagai pesaing kepada rangkaian seperti Dish Network Sling TV dan AT & T DIRECTTV.
 
"YouTube TV direka khusus untuk keperluan generasi baru peminat TV yang ingin menonton apa yang mereka mahu, pada bila-bila masa tanpa sebarang komitmen," kata Wojcicki ketika sidang media di pejabat YouTube di selatan California.
 
Pada masa sama, saluran itu bakal menggabungkan kandungan yang dipilih pengguna daripada video dalam talian Google untuk berkongsi perkhidmatan agar ia dapat ditonton menerusi skrin televisyen besar daripada telefon pintar.
 
Wojcicki berkata, perkhidmatan itu bakal dilancarkan di pasaran utama AS bagi memudahkan bekalan saluran televisyen tempatan, dengan YouTube berusaha untuk meluaskan perkhidmatan dengan segera.

Tiada ulasan: