Khamis, 16 Mac 2017

Yeo: Tiada orang layak ganti Rosmah di PERMATA?

Yeo Bee Yin hari ini terus mengasak program pendidikan awal kanak-kanak PERMATA yang dinaungi Rosmah Mansor.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama itu menolak penjelasan pembantu Rosmah, Rizal Mansor, berkaitan kelayakan isteri perdana menteri itu.

“Jika kelayakan akademik menjadi ukuran untuk melayakkan seseorang itu menjadi penaung, adakah beliau maksudkan tiada seorang pun di kalangan penjawat awam di Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat yang layak untuk kedudukan Rosmah?

“Ini penghinaan yang amat besar kepada penjawat awam di Malaysia,” kata wakil DAP itu dalam kenyataannya.

Yeo semalam telah menuntut Rosmah meletakkan jawatan jika tidak bersedia berdepan pemantauan awam.
Rizal bagaimanapun menjelaskan Rosmah mempunyai latar belakang dan pendidikan tinggi yang layak, dalam bidang sosiologi dan antropologi, untuk menerajui PERMATA.

Yeo berkata, selain kelayakan akademik, peneraju PERMATA harus mempunyai kewibawaan dan kepercayaan umum.

“Semua ini tiada pada Rosmah. Beliau tidak dipilih rakyat dan suaminya pula mentadbir kerajaan minoriti yang hanya mendapat 48 peratus undi popular dalam pilihan raya umum lalu,” katanya.

Yeo juga berhujah, di negara-negara yang bertaraf dunia dalam program pembangunan awal kanak-kanak tidak pun mempunyai penaung.

Ini, katanya berlaku di Finland, Sweden dan Singapura.

“Saya cadang Rosmah dan pembantunya tidak pertahankan diri dan berlagak seperti mangsa lagi, berhenti sajalah,” katanya.

Tiada ulasan: