ANTARAPOS.COM
JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim
menegaskan tiada tempat individu mahupun pihak tidak berintegriti dan
korup di negeri ini.
Menurutnya, individu yang diberikan amanah dan tanggungjawab diingatkan
supaya menjalankan kewajipan untuk berkhidmat kepada rakyat dengan
baik.
“Saya ingin beri nasihat sedikit terhadap isu berbangkit berkaitan dengan negeri Johor Darul Takzim.
“Perlu saya ingatkan di negeri Johor ini tidak akan ada tempat untuk
mereka-mereka yang tidak mengamalkan integriti dalam tugasan yang
diberikan serta terlibat dengan budaya korup.
“Kepada mana-mana individu yang diberi amanah dan tanggungjawab,
jalankan kewajipan anda untuk berkhidmat kepada rakyat dengan baik,”
katanya seperti dipetik dari laman Facebook Johor Southern Tigers,
semalam.
Tunku Ismail berkata, individu yang mengutamakan kepentingan peribadi
lebih daripada rakyat juga tidak layak berada di negeri ini.
“Sekiranya anda mengutamakan kepentingan peribadi lebih daripada
rakyat, sebagai mana yang DYMM Tuanku pernah bertitah, anda tidak layak
berada di negeri Johor dan kami akan pastikan anda tidak mempunyai
tempat di negeri berdaulat ini,” katanya.
Di Kluang, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
berkata, kerajaan negeri akan memastikan unsur-unsur rasuah dan penipuan
di negeri ini dapat dibanteras dalam usaha menjayakan Gagasan Johor
Berkemajuan.
“Ini peringatan kepada semua bahawa dalam zaman ini banyak mata
memandang. Mereka yang diberikan amanah oleh rakyat perlu melaksanakan
tanggungjawab sebaik mungkin kerana apa pun yang kita lakukan kita tidak
akan terlepas.
“Apa pun yang berlaku, kita percaya PDRM dan SPRM ada maklumat lebih
lengkap, biarkan badan ini menjalankan siasatan,” katanya.
Katanya, kes penahanan seorang exco kerajaan negeri dan tangkapan
sindiket berkaitan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri Johor baru-baru
ini seharusnya jadi pengajaran kepada semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan