Khamis, 23 Mac 2017

Tidakkah membazir belanja RM15j untuk forum 2 hari, tanya PKR

MALAYSIAKINI




 




Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail hari ini berkata, beliau difahamkan penganjuran Forum Transformasi Global (GTF) 2017 menerima peruntukan khas sebanyak RM15 juta daripada kerajaan.

"Tidakkah sejumlah RM15 juta bagi forum yang berlangsung hanya selama dua hari (dari 22 hingga 23 Mac 2017) itu merupakan suatu pembaziran.

"RM15 juta itu jika dapat dijimatkan oleh kerajaan, pastinya akan dinikmati oleh rakyat dalam bentuk subsidi, apatah lagi ketika rakyat sedang menghadapi kos sara hidup yang tinggi.

"RM15 juta adalah satu jumlah kerugian yang besar sekiranya acara tersebut diadakan hanya untuk mendengar perbincangan. Penghapusan subsidi demi subsidi menunjukkan kekangan kewangan kerajaan dan ini bakal menyaksikan kenaikan harga," kata beliau dalam kenyataan.

Semalam, dalam ucaptama beliau semasa GTF, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia menjangka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini meningkat sedikit berbanding 4.2 peratus yang dicapai tahun lepas.

"Kita menjangka angkanya naik sedikit tahun ini, dan (pertumbuhan) akan meningkat pada 2018. Angka ini menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang lebih berganda daripada kadar yang diunjur Dana Kewangan Antarabangsa bagi ekonomi maju pada tempoh yang sama," kata Najib.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga penasihat strategik ketua menteri Pulau Pinang berkata, penganjuran acara itu seolah-olah kerajaan mahu mewujudkan platform untuk Najib mempromosikan dirinya sendiri kepada rakyat.

"Walaupun GTF dilihat sebagai platform pemimpin atau individu dunia yang secara tidak langsung melibatkan diri dan berkongsi pengalaman tetapi dapatkah Najib memperolehi manfaat bagi memacu transformasi negara setanding dengan negara-negara maju yang lain.

"Kewujudan acara ini seolah-olah kerajaan mahu mewujudkan platform untuk Najib mempromosikan dirinya sendiri kepada rakyat, apatah lagi dengan desus-desas mengatakan hampir tibanya musim pilihanraya," tambah beliau.

Alangkah baiknya, kata beliau, jika Malaysia mempunyai kerajaan yang bijak dalam mentadbir dan menguruskan perbelanjaan negara, bukannya menghabiskan RM15 juta untuk mendengar ceramah inspirasi.

"Alangkah baiknya sekiranya kerajaan memastikan setiap sen yang dikutip daripada cukai dibelanjakan untuk manfaat rakyat," tambahnya.


Tiada ulasan: