Rabu, 29 Mac 2017

Tiada larangan untuk guru naik pentas pembangkang

Shawaliah Hadir
 
 
Semua parti dalam Pakatan Harapan termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menawarkan khidmat bantuan guaman kepada kesemua guru yang terlibat untuk membela diri jika mereka berhasrat untuk melanjutkan isu ini ke mahkamah

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan sebagai penjawat awam tidak melarang pekerjanya bergiat aktif dengan parti pembangkang, justeru tindakan terhadap lima guru yang mengikuti program parti pembangkang baru-baru ini disifatkan Adun Sungkai A Sivanesan sebagai tidak wajar.

Sebaliknya kata Sivanesan yang juga merupakan seorang peguam, penjawat awam diarahkan untuk meletakkan jawatan sekiranya menjadi calon atau berperanan sebagai wakil dalam mana-mana pilihan raya.

“Apa yang terkandung dalam perintah am adalah jika seorang penjawat kerajaan ingin menjadi calon atau ejen kepada calon dalam pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, mereka kena letak jawatan itu sahaja ketetapan yang ada.

“Tidak ada mana-mana yang sentuh berkaitan dengan berkempen atau berucap di atas pentas. Jika mereka berucap di atas pentas dan fakta mereka tidak benar tindakan boleh diambil di bawah akta-akta lain, tetapi bukan di bawah untuk tindakan tempat kerja,” katanya kepada Berita Daily.

Justeru itu kata beliau, penjawat awam berhak untuk mengikuti mana-mana program yang melibatkan parti politik sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang.

“Jadi menteri tidak boleh ugut penjawat kerajaan. Tindakan yang diambil terhadap lima orang guru ini adalah tindakan dengan niat jahat.

“Mereka mempunyai hak menyertai mana-mana parti yang diiktirafkan di undang-undang,” kata Ketua Biro Buruh DAP Kebangsaan itu lagi.

Beliau terdahulu mengulas tindakan yang dikenakan terhadap lima guru yang diberikan surat tunjuk sebab oleh Kementerian Pendidikan kerana didapati menaiki pentas politik pembangkang untuk memburukkan kerajaan.

Beliau turut membidas Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang tidak menyebelahi kesemua guru tersebut.

Sementara itu Sivanesan berkata DAP dan semua parti dalam Pakatan Harapan termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menawarkan khidmat bantuan guaman kepada kesemua guru yang terlibat untuk membela diri jika mereka berhasrat untuk melanjutkan isu ini ke mahkamah.

Tiada ulasan: